Monday, September 3, 2012

Artikel 1: Guru Ponteng Sebelum Cuti Dikenal Pasti

Nama: Aziza Nurul Suhaidatina Aisya Bt Abdul Aziz

1.0  PENGENALAN
Isu etika guru bukanlah cerita baru yang melanda pendidikan pada masa kini. Dalam Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku kesusilaan. Etika dari sudut Islam bererti akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan merujuk kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut oleh syara’.

Namun oleh kerana terdapat segelintir guru-guru yang menyalahi etika perguruan, guru-guru yang lain terkena tempiasnya ibarat ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Justeru, isu-isu yang melibatkan etika guru menyebabkan profesion guru hari ini dilihat semakin goyah dari masa ke semasa. Isu etika guru sering dilihat melalui media elektronik seperti televisyen ataupun di dada-dada akhbar. Ini jelas, apabila semakin banyak isu-isu salah laku guru yang disiarkan di televisyen dan di akhbar yang melanggar kod etika perguruan. Jika masalah ini tidak dibendung oleh kementerian yang berwajib, maka lama kelamaan profesion perguruan tidak dilihat sebagai satu profesion yang mulia.

Salah satu isu etika guru yang dianggap semakin menular dalam kalangan guru ialah isu guru ponteng. Isu ini telah melanggar peraturan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), ponteng dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kecoh, tipu, lari daripada tugas yakni tanggungjawab dan lain-lain. Ponteng dari segi istilah merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang surat akauan sakit mahupun apa-apa sebab yang munasabah. Ketidakhadiran boleh diertikan sebagai apa-apa sahaja kegagalan seseorang pekerja daripada melaporkan diri atau tidak berada di tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun.


Sunday, September 2, 2012

Artikel 2: Pupuk Budaya Penyelidikan

Nama: Nur Fazeera bte Mohd Fadzil


1.0       PENGENALAN

            Penyelidik adalah satu perkataan yang memberi bayangan bahawa seseorang individu mengkaji sesuatu perkara untuk mencari dan menyelesaikan dalam dirinya. Penyelidik adalah orang yang bertanggungjawab melakukan penyelidikan berlandaskan kaedah-kaedah yang benar dan sahih. Menurut Rudduck dan rakan (1985), penyelidikan ialah melaksanakan siasatan secara sistematik terhadap perkara yang ingin diketahui. Ini bermakna penyelidikan yang dilakukan adalah berkaitan dengan perkara yang menimbulkan tanda tanya (masalah) hingga tercetusnya persoalan-persoalan dan akhirnya ingin diselesaikan untuk mendapatkan persoalan itu.

            Ramai antara ilmuwan, profesor, pensyarah dan profesion yang lain melaksanakan penyelidikan. Tujuannya hanya satu, untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi seterusnya menambahbaik kemahiran sedia ada. Namun begitu, adakah profesion keguruan terlepas daripada melakukan penyelidikan? Jawapannya, tidak. Guru juga tidak terlepas daripada melakukan tinjauan dan penyelidikan di sekolah. Sebagai guru, proses ini adalah sangat penting untuk memperbaiki mutu pengajaran terkini. Konsep guru sebagai penyelidik turut dibincangkan dalam literatur pendidikan guru terutamanya berkaitan dengan reformasi pendidikan dan peningkatan profesionalisme guru.

            Penyelidikan yang guru laksanakan dinamakan penyelidikan tindakan. Secara umumnya, kajian tindakan diasaskan oleh Kurt Lewin pada tahun 1940 an (Chow F. M et al., 2011). Beliau merangka kajian tindakan sebagai satu inkuiri oleh sekumpulan orang yang mengalami masalah. Inkuiri yang diketengahkan adalah berfokus kepada dinamika kumpulan. Lewin berpendapat bahawa sumbangan penyelidik dalam inkuiri tidak boleh diabaikan jika ingin memahami dan menambah baik tindakan sosial.

            Terkini, terdapat perbincangan yang menyeru agar guru-guru mengamalkan budaya penyelidikan. Amalan ini perlu dijadikan satu budaya memandangkan guru kurang melaksanakan penyelidikan secara berperingkat. Artikel yang berikut menyeru agar guru-guru melaksanakan penyelidikan tindakan dengan lebih kerap. Sumber artikel adalah dari Utusan Online bertarikh 22 Julai 2011 oleh Azizi Majid.


Artikel:

ARKIB : 22/07/2011

Pupuk budaya penyelidikan
Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 21 Julai - Bidang penyelidikan seharusnya diberi penekanan sewajarnya dalam bidang pendidikan di negara ini kerana ia bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada pendidik malah kepada masyarakat.
Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Haili Dolhan berkata, seluruh warga pendidik khususnya yang berada di IPG perlu meningkatkan budaya penyelidikan dalam kerjaya masing-masing kerana ia mampu meningkatkan integriti dan kredibiliti mereka seterusnya memartabatkan lagi profesion perguruan.
"Kita tidak mahu warga pendidik hanya menumpu perhatian untuk mengajar anak murid, sebaliknya mereka perlu menyumbang sesuatu kepada negara melalui bidang penyelidikan.
"Ini kerana cintakan ilmu, dahagakan pengetahuan dan belajar sepanjang hayat merupakan sifat yang harus ada pada diri setiap warga pendidik," katanya ketika berucap sempena Seminar Jiwa Penyelidik di IPG Kampus Temengggong Ibrahim (IPGKTI) di sini semalam.
Turut hadir Pengarah IPGKTI, Mohd. Said Hasran.
Mengulas mengenai seminar tersebut beliau berkata, pertemuan para intelek dalam seminar yang pertama kali diadakan itu mampu mencetuskan perkembangan baru dalam bidang pendidikan seterusnya membantu Kementerian Pelajaran mencapai wawasan 'Pendidikan Bertaraf Dunia'.
Seminar bertemakan 'Penyelidikan Melestarikan Guru Bestari' adalah anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan IPGKTI bersama IPG Zon Selatan.
Seminar selama tiga hari bermula hari ini antara lain melibatkan pembentangan 25 kertas kerja oleh warga pendidik dan pensyarah dari institut berkenaan.


            Berdasarkan artikel, Rektor Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Haili bin Dolhan berkata bahawa seluruh warga pendidik perlu memupuk budaya penyelidikan agar berupaya meningkatkan integriti dan kreadibiliti mereka. Bukan bermakna pendidik yang telah berjaya mempunyai ijazah tertinggi berhenti menuntut ilmu, bahkan menyemai sikap belajar sepanjang hayat.

2.0       KEPENTINGAN MENYELIDIK

                        Setiap hari, guru perlu melakukan pelbagai keputusan yang berkait rapat dengan pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta pengurusan bilik darjah (Noriati A. Rashid et al. 2010). Sebenarnya, semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran, guru telah terlibat secara tidak langsung dengan proses penyelidikan seperti merancang pengajaran, membantu murid dalam proses pembelajaran, menguruskan bilik darjah, menilai hasil kerja murid dan memberikan maklum balas pencapaian murid-murid kepada ibu bapa. Walaupun ia menyerupai proses pengajaran, namun jika dinyatakan semula dengan cara dan kupasan yang berbeza dan lebih ilmiah serta mengaplikasikan reka bentuk kajian, melaksanakan pelan tindakan, memerhati, mengumpul data, menganalisa data dan mengubahsuai strategi pengajaran mengikut keperluan murid, ia lebih menepati takrifan penyelidikan.

            Mengapa guru perlu menyelidik? Elliot,1991 (dalam Kajian Tindakan: Konsep & Amalan dalam Pengajaran oleh Chow F. M et al.) menegaskan bahawa guru-guru memperoleh manfaat dengan melakukan penyelidikan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran seperti:
    > Menyedari teori peribadi,
Melahirkan konsep nilai yang boleh dikongsi bersama,
Mencuba strategi baru agar dapat merealisasikan nilai yang dipegang dalam amalan,
Mendokumentasikan amalan mereka supaya mudah diakses dan difahami oleh penyelidik 
        yang lain dan
     Membina teori pengajaran yang boleh dikongsi melalui usaha penyelidikan.

Pada pendapat saya, sebagai seorang guru, tugas mendidik bukannya mudah. Untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang berkaitan dengan tugas mendidik perlu menggunakan pelbagai cara dan teknik yang bersesuaian. Sehubungan dengan itu, penyelidik yang berkualiti seharusnya tidak berputus asa untuk terus mencuba strategi yang baru dan sentiasa memperbaharui kemahiran selaras dengan perkembangan murid-murid. Saya sebagai guru pelatih turut terlibat dengan penyelidikan tindakan sebagai syarat untuk melayakkan saya menerima ijazah. Syarat ini pada saya sangat bagus kerana ia sebagai alternatif dan pendedahan awal kepada bidang penyelidikan ini dan seterusnya menjadikan ia sebagai amalan apabila telah menjadi guru kelak.

Seruan memupuk budaya penyelidikan bukan bermula sejak kebelakangan ini, malahan telah bermula sejak tahun 1993 di mana Dr. Wan Zahid (dalam kajian Guru Sebagai Penyelidik: Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kekerapan Aktiviti Kajian Tindakan Di Sekolah oleh Lee S. G, 1997) menyarankan supaya  guru-guru besar menggalakkan guru-guru di sekolah masing-masing menjalankan kajian tindakan. Saranan beliau adalah berikutan daripada usaha Kementerian Pelajaran Malaysia pada masa itu yang memperkenalkan Projek PIER (Programme for Innovation, Excellence and Research) yang salah satu tujuan utamanya adalah memupuk budaya penyelidikan di kalangan pengurus pendidikan dan pendidik melalui kajian tindakan. Ini membuktikan bahawa penyelidikan tidak dilaksanakan pada satu tempoh masa saja tetapi adalah berterusan dan koheren.

Seruan demi seruan dihebahkan. Namun, adakah penyelidik itu sendiri sedar akan kepentingan melaksanakan penyelidikan? Jawapannya ialah sebagai guru yang berfikiran reflektif, sudah tentu mereka menganggap bahawa penyelidikan ini sebenarnya sangat-sangat membantu diri, rakan sejawat dan juga masyarakat dalam mengetahui sesuatu isu yang dikupas. Dalam melaksanakan penyelidikan, guru akan melakukan pelbagai carian, melaksanakan pemerhatian, merekod data, menganalisis dan melaporkan dapatan kajian masing-masing. Tinjauan yang dilakukan adalah bersesuian dengan amalan di bilik darjah. Kepentingannya ialah guru dapat mempertingkatkan profesionalisme melalui penyelidikan yang dilaksanakan. Saya berkata sedemikian adalah kerana guru merupakan individu yang menguasai kandungan kurikulum subjek yang diajar serta mengetahui cara pelaksanaannya. Ini bermakna, pengetahuan tentang kurikulum mestilah berdasarkan tugas yang dilaksanakannya. Pendapat saya, pengamal kurikulum seperti guru sepatutnya menjalankan kajian berdasarkan tugas-tugas mengajar. Dengan kata lain, guru mesti memahami dan menghayati matlamat serta hasil pembelajaran yang diharapkan daripada subjek tersebut. Seterusnya, pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang sesuai. Namun begitu, tidak semua hasil pembelajaran berjaya dicapai. Oleh itu, refleksi penting untuk mengesan masalah yang dihadapi, membuat andaian punca wujudnya masalah tersebut.bagi membuktikan andaian adalah benar, kajian perlu dilaksanakan secara sistematik untuk memperbaiki masalah tersebut. Kepakaran sebagai seorang guru berupaya ditingkatkan dalam perkembangan kurikulum dan refleksi pengajaran seterusnya dapat melahirkan budaya profesional di sekolah.

Seterusnya, kepentingan penyelidikan adalah penyepaduan teori dan amali. Teori pengajaran dan pembelajaran telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh pendidik seperti Teori Behaviorisme, Humanistik, Kognitif dan Konstruktivis. Di samping itu, terdapat juga pelbagai jenis pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang boleh dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui penyelidikan, guru boleh menyepadukan teori pengajaran dengan amalan. Sebagai contoh, guru boleh mengaplikasikan teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner dalam bilik darjah dan melihat sejauh mana ia memberi kesan terhadap pembelajaran murid. Pada saya, tidak semestinya teori yang digunakan pada kali pertama terus berkesan kepada murid-murid. Guru perlu mencuba pelbagai kaedah yang paling sesuai dengan gaya pembelajaran murid.
           

3.0       FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI AMALAN PENYELIDIKAN

            Dalam penyelidikan yang dilakukan oleh Lee S. G (1997) beliau mengemukakan faktor-faktor utama yang memenuhi kekerapan penyelidikan tindakan yang dilaksanakan oleh guru-guru iaitu persepsi mereka terhadap kepentingan penyelidikan, kemahiran melaksanakan penyelidikan, kesesuaian iklim sekolah bagi melaksanakan penyelidikan dan cabaran yang dihadapi semasa melaksanakan penyelidikan. Di samping itu, terdapat juga faktor-faktor lain seperti faktor masa dan keterbukaan dalam mengakui kelemahan.

            Pada pendapat saya, faktor-faktor yang dinyatakan sememangnya membelenggu guru-guru yang menyebabkan mereka tertangguh untuk melaksanakan penyelidikan. Contohnya, tidak ramai guru yang menyedari akan kepentingan penyelidikan bagi jangka masa panjang. Ia membantu dari segi merancang strategi dan kaedah yang bersesuaian sebelum menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Namun, berlainan pula dengan guru yang sedar dengan kebaikan melaksanakan penyelidikan, sudah tentu mereka tidak teragak-agak untuk memberikan komitmen sepenuhnya dalam bidang penyelidikan. Kemudian, faktor kesesuaian iklim sekolah turut mempengaruhi amalan penyelidikan. Pada pendapat saya, jika tiada dorongan daripada ketua iaitu guru besar, maka guru-guru kurang bermotivasi untuk melaksanakan penyelidikan. Begitu juga dengan situasi yang tidak mendesak contohnya guru tidak menghadapi masaalah pembelajaran yang berat dan sentiasa berjaya menyelesaikan setiap masalah, maka dia berasa tidak perlu untuk membuat penyelidikan tindakan. Disebabkan itulah Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr. Hashim Yaacob (Berita Harian,12 Mei 2005) berkata, ketua organisasi iaitu guru besar atau pengetua digesa membuat kajian tindakan bagi menjadikan ia budaya dalam meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Beliau berkata lagi, penyelidikan membantu guru-guru membuat sesuatu keputusan yang lebih bijak, berkesan dan profesional selain berupaya menguji keberkesanan sesuatu teori pembelajaran dan kaedah P&P yang sesuai dengan persekitaran selain penerimaan masyarakat dan murid-murid. Tambah  beliau lagi, pendidikan berkualiti memerlukan pengetua atau guru besar yang berkualiti bukan saja dari segi fizikal, malah kebijaksanaan dalam mewujudkan interaksi antara guru, kakitangan dan murid-murid.

            Seterusnya, halangan dan kekangan yang dihadapi oleh guru-guru menyukarkan mereka untuk menyelidik. Mungkin kerana faktor bebanan tugas yang semakin menimbun pada masa kini menyebabkan mereka mengabaikan kepentingan menyelidik dan melupakan kebaikannya. Tidak dinafikan, faktor kekangan masa mengakibatkan guru kurang mengamalkan penyelidikan. Warga pendidik seharusnya tidak mengelak dalam melaksanakan penyelidikan ini atas faktor-faktor seperti yang disebutkan tadi. Memetik kata-kata Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar (EPRD) Kementerian Pelajaran Malaysia, Amir Mohd Salleh (DJ Dolasoh, Berita Harian, 29 September 2009), setiap guru perlu mencontohi guru di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea yang membuat kajian tindakan terhadap bidang kerjaya mereka. Ia sebagai alat penilai dan perlu menganggapnya sebagai sebahagian daripada bidang tugas untuk meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Dengan kenyataan ini, maka terbuktilah bahawa untuk menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia, guru-guru yang perlu memulakan langkah untuk melakukan transformasi agar kualiti pembelajaran semakin berkualiti dan bertaraf dunia.

            Maka, pendapat saya ialah guru-guru yang menginginkan pendidikan bertaraf dunia tidak seharusnya mengabaikan dan menangguh pelaksanaan penyelidikan ini kerana sudah tentu penyelidikan yang dibuat bukan saja meningkatkan kualiti pengajaran diri sendiri, bahkan dapat membantu meningkatkan atau menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran guru-guru lain yang menghadapi masalah yang sama.

           
4.0       IMPLIKASI PENYELIDIKAN

            Sesuatu tindakan yang diambil sudah pasti ada pro dan kontranya.  Tidak terkecuali dalam melaksanakan penyelidikan ini. Kebaikan kajian tindakan ialah:
·        > Membantu memperbaiki amalan proses pengajaran dan pembelajaran
·         >Meningkatkan pemahaman dan ilmu pengetahuan tentang amalan bilik darjah.
·         >Memberi tumpuan kepada isu/masalah semasa.
·        > Membantu guru lain menyelesaikan masalah yang hampir serupa.
·         >Merancang huraian mata pelajaran dengan lebih berkesan
·         >Mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta memudahkan pencapaian  
        objektif pembelajaran.
·        > Menyediakan guru agar menjadi penyelidik yang kritikal, kaya dengan idea baru dan sanggup 
        menerima perubahan terhadap kurikulum.
·        > Membentuk budaya penyelidikan sebagai asas dalam membuat sebarang perancangan dan 
        tindakan

Namun begitu, ada pendapat yang mengkritik kajian tindakan ini. Hodgkinson (dalam kajian Lee S. G ,1997 yang bertajuk Guru Sebagai Penyelidik: Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kekerapan Aktiviti Kajian Tindakan di Sekolah) mengkritik kewibawaan guru untuk menjalankan penyelidikan. Pada pendapat beliau, guru tidak mempunyai ilmu yang secukupnya untuk menjalankan penyelidikan yang lengkap. Di samping itu, guru tidak mempunyai masa yang mencukupi disebabkan bebanan tugas yang berat. Antara lain, beliau berkata sekolah tidak mempunyai peruntukan untuk membiayai projek penyelidikan yang guru lakukan.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan Hodgkinson tersebut. Pada pendapat saya, faktor masa tidak menjadi masalah kepada guru kerana kebanyakan kajian adalah berkaitan dengan masalah dalam bilik darjah. Maka, kajian juga dilaksanakan dalam bilik darjah semasa guru-guru mengajar. Justeru, tidak timbul isu kekangan masa untuk menyelidik. Mungkin laporan yang perlu disediakan memperuntukan masa yang banyak untuk menyiapkannya. Tetapi, laporan boleh disediakan selain waktu mengajar misalnya di rumah. Kemudian, pendapat beliau tentang guru tidak mempunyai ilmu yang cukup. Ini adalah tidak benar sama sekali kerana banyak seminar kajian tindakan yang dianjurkan untuk membantu guru lebih memahami proses untuk menyediakan kajian tersebut. Di samping itu, terkini, kajian tindakan telah diperkenalkan sejak di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan menjadi syarat untuk melayakkan guru pelatih mendapat ijazah. Maka, pendedahan yang telah diberi membuka ruang kepada guru-guru novis untuk meneruskan amalan penyelidikan ini.

Bagi saya, melaksanakan penyelidikan tindakan tiada kelemahannya. Cuma guru itu sendiri perlu pandai membahagikan masa antara tugas hakiki dengan tugas-tugas lain. Jangan hanya fokus kepada bidang menyelidik, tetapi tugas mengajar diabaikan.

5.0       CADANGAN/RUMUSAN

            Di sini, saya ingin mencadangkan supaya budaya penyelidikan diberi pendedahan sejak dari awal lagi supaya ia menjadi satu budaya di sekolah. Ini bermakna, penyelidikan tindakan dijadikan sebagai tugasan di Institut Pendidikan Guru (IPG) supaya guru pelatih menjadi mahir dari semasa ke semasa untuk menjalankan penyelidikan tindakan. Apabila mengajar kelak, tiada timbul isu guru kurang mahir dalam menyelidik kerana telah diberi latihan dan bimbingan yang cukup semasa belajar. Rasionalnya cadangan saya ini ialah untuk melahirkan guru-guru yang menyelidik agar dapat membantu meningkatkan mutu pendidikan di negara kita.

            Seterusnya, di sekolah, saya mencadangkan agar seorang guru melaksanakan penyelidikan tindakan sekurang-kurang satu kajian dalam setahun. Tujuannya adalah supaya mereka lebih peka dengan masalah dalam bilik darjah dan bersama-sama untuk menyelesaikan perkara ini bersama-sama tanpa hanya menyerahkan tugas kepada pihak lain. Justeru, pada setiap tahun, kaedah dan strategi pengajaran akan berubah-ubah mengikut situasi dan tahap murid-murid di samping meningkatkan minat murid-murid terhadap mata pelajaran. Guru besar perlu mewajibkan setiap guru untuk membentangkan dapatan mereka kepada rakan sejawat yang lain. Dengan cara ini juga, sesi perbincangan akan diadakan dan isu tersebut dibincangkan dengan lebih mendalam serta cadangan dan idea baru dikemukakan supaya guru yang menyelidik itu mendapat maklum balas positif dan negatif terhadap kajiannya.

            Secara keseluruhannya, guru sememangnya tidak boleh lari daripada proses penyelidikan yang berupaya menaik taraf kualiti pendidikan negara. Guru bukan hanya berperanan untuk mengajar saja tetapi perlu memahami serta menghayati tujuan dan matlamat pendidikan dengan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Selaras dengan perkembangan dunia globalisasi, sememangnya tugas guru lebih mencabar. Sehubungan itu, guru perlu meningkatkan kepakaran khususnya dalam mata pelajaran yang diajar. Peningkatan kepakaran ini salah satunya boleh diperoleh daripada peranan guru sebagai penyelidik.

            Akhir kata, penglibatan guru dalam bidang penyelidikan tindakan adalah amat-amat digalakkan agar kualiti pendidikan semakin meningkat dan akan setaraf dengan kualiti pendidikan di negara maju.

Artikel 3: Boleh Rotan atau Tidak?


Nama : Nurul Izzati bt Shamsuddin




Video di atas menunjukkan hukuman rotan yang dilaksanakan oleh seorang guru terhadap 40 orang murid di negara Thailand. Rotan yang digunakan dibalut menggunakan kabel elektrik..

Adakah tindakan ini adalah cara paling sesuai dan berkesan digunakan pada masa kini?

Walaupun kerajaan Thailand telah mengharamkan penggunaan rotan di sekolah namun ia masih digunakan dan secara terang hukuman rotan tersebut menyalahi prosedur yang ditetapkan.

Situasi seperti ini juga sering berlaku di negara kita, Malaysia. Pelbagai isu penderaan murid, murid cedera dipukul atau dirotan guru timbul di dada-dada akhbar tempatan. Jadi, adakah pelaksanaan hukuman rotan masih relevan di gunakan di sekolah?

Hasil tulisan di bawah mengupas dengan lebih lanjut mengenai isu keguruan "Boleh rotan atau tidak?"



1.0   PENGENALAN

Hukuman rotan boleh didefinisikan sebagai perihal menghukum dengan menggunakan sebuah rotan bagi kesalahan serius. Pada masa kini, masalah displin di kalangan murid sekolah semakin berleluasa seiring dengan isu-isu akhlak remaja di akhbar-akhbar tempatan yang semakin menular. Perkara ini memerlukan perhatian dari pelbagai pihak tentang punca displin murid semakin sukar untuk dibendung. Lantaran pelbagai isu masalah displin timbul, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggubal Peraturan-Peraturan Displin 2006 sebagai panduan perlakuan salah laku murid.

Walau bagaimanapun, masalah displin masih menjadi belenggu kepada guru dalam memastikan murid mematuhi peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, hukuman rotan sering digunakan sebagai pengajaran kepada murid yang melakukan kesalahan dan memberikan kesedaran kepada murid-murid lain. Namun, hukuman rotan yang digunakan oleh pihak sekolah telah menimbulkan isu-isu penderaan terhadap murid walaupun hukuman yang dijalankan adalah berdasarkan kesalahan yang dilakukan murid. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 7/2003: Kuasa guru merotan murid yang digubal sebagai panduan kepada pihak sekolah bagi melaksanakan hukuman rotan mengikut kesalahan yang dilakukan murid. Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 7/2003 menyatakan prosedur pelaksanaan hukuman rotan. Antaranya ialah guru biasa tidak dibenarkan merotan murid kecuali Guru Besar dan dilaksanakan mengikut syarat yang telah ditetapkan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 7/2003.

Artikel 4: Kurikulum Seks Sekolah; PEERS Semai Nilai Positif

Nama: Quwwatun 'Aqilah Mohamad


PENGENALAN
   Sudah banyak kes-kes masalah gejala sosial dalam kalangan remaja di negara Malaysia yang selalu kita dengari. Lewat kebelakangan ini, kes buang bayi pula yang sering mencuri tumpuan. Salah siapa masalah ini terjadi? Adakah salah ibu bapa yang tidak pandai menjaga anak? Adakah salah media masa yang memberi pengaruh negatif atau salah guru yang tidak tahu mengajar? Masalah ini tidak akan selesai jika semua pihak saling menuding jari mencari kesalahan. Masalah ini perlu dibanteras dari akar umbinya supaya pucuk masalah baru tidak tumbuh lagi.     

     Setelah perbincangan demi perbincangan, akhirnya jalan penyelesaian kepada masalah ini telah ditemui iaitu pendedahan pendidikan seks atau istilah yang digunakan ialah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS). Ramai yang memberi pelbagai respons positif dan negatif. Tujuan utama PEERS adalah untuk menyedarkan remaja tentang implikasi hubungan seks sebelum berkahwin dan supaya mereka berkata “TIDAK” kepada seks sebelum berkahwin.
          
     Satu artikel bertajuk “PEERS semai nilai positif” (Kosmo, 3 Januari 2011) menerangkan tentang kandungan kurikulum seks sekolah. Artikel itu menerangkan “PEERS adalah satu proses sepanjang hayat untuk memperoleh pengetahuan dan membentuk sikap, nilai serta kepercayaan terhadap identiti, perhubungan serta keintiman sesama individu,” kata Datuk Julaihi Bujang, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM. Dalam pada itu, PEERS diharap dapat mengurangkan masalah gejala sosial, masalah pembungan bayi, peningkatan anak luar nikah, masalah AIDS , dan pelbagai lagi masalah yang berpunca daripada pergaulan bebas lelaki dan perempuan. 


Saturday, September 1, 2012

Artikel 4: Situasi kurang pengetahuan seks @ PEERS

Nama: Quwwatun 'Aqilah Mohamad
Artikel: Kurikulum Seks Sekolah; PEERS Semai Nilai Positif


"Macam mana perut cikgu boleh jadi besar macam ni?"

"............ (senyum)"

"Nek, baby datang dari mana?"

"Dari tepi jalan"
"Kak Yati pun datang dari tepi jalan ke?"

Doktor, "Siapa ganggu dia?"

"Tiada siapa"
"Jadi baby tu?"
"Saya punya"


    Berikut merupakan sedutan dari filem AKU TAK BODOH (00:01-00:20). Kita dapat lihat inilah implikasi jika murid tidak diberi pendedahan yang betul tentang pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial (PEERS). Sememangnya masyarakat Melayu tidak membincangkan mengenai perkara ini secara terbuka lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak. Akibatnya, kanak-kanak mempunyai konsep yang salah tentang pendidikan reproduktif. 

    Ibu bapa dan masyarakat juga tidak menerangkan konsep pendidikan kesihatan reproduktif yang betul kepada anak-anak apabila mereka ditanya tentang hal berkaitan dengan seks dan reproduktif. Jadi, PEERS wajar diajar di sekolah untuk memberi pengetahuan dan konsep yang betul kepada murid tentang pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial atau lebih dikenali sebagai pendidikan seks. Apa pula pendapat anda?

Tuesday, August 28, 2012

We are here!


Assalamualaikum !

Blog untuk EDU 3108!! huhu... we are here ~~~ untuk publish hasil tulisan tentang isu keguruan ... 

 So...ni lah dia editor-editornya...

Selamat berkenal-kenalan!

Aziza Nurul Suhaidatina Aisya bt Abdul Aziz
Nur Fazeera bt Mohd Fadzil
Nurul Izzati bt Shamsuddin
Quwwatun 'Aqilah bt Mohamad


Nantikan hasil tulisan kamiiii.............!! ;)