Sunday, September 2, 2012

Artikel 3: Boleh Rotan atau Tidak?


Nama : Nurul Izzati bt Shamsuddin




Video di atas menunjukkan hukuman rotan yang dilaksanakan oleh seorang guru terhadap 40 orang murid di negara Thailand. Rotan yang digunakan dibalut menggunakan kabel elektrik..

Adakah tindakan ini adalah cara paling sesuai dan berkesan digunakan pada masa kini?

Walaupun kerajaan Thailand telah mengharamkan penggunaan rotan di sekolah namun ia masih digunakan dan secara terang hukuman rotan tersebut menyalahi prosedur yang ditetapkan.

Situasi seperti ini juga sering berlaku di negara kita, Malaysia. Pelbagai isu penderaan murid, murid cedera dipukul atau dirotan guru timbul di dada-dada akhbar tempatan. Jadi, adakah pelaksanaan hukuman rotan masih relevan di gunakan di sekolah?

Hasil tulisan di bawah mengupas dengan lebih lanjut mengenai isu keguruan "Boleh rotan atau tidak?"



1.0   PENGENALAN

Hukuman rotan boleh didefinisikan sebagai perihal menghukum dengan menggunakan sebuah rotan bagi kesalahan serius. Pada masa kini, masalah displin di kalangan murid sekolah semakin berleluasa seiring dengan isu-isu akhlak remaja di akhbar-akhbar tempatan yang semakin menular. Perkara ini memerlukan perhatian dari pelbagai pihak tentang punca displin murid semakin sukar untuk dibendung. Lantaran pelbagai isu masalah displin timbul, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggubal Peraturan-Peraturan Displin 2006 sebagai panduan perlakuan salah laku murid.

Walau bagaimanapun, masalah displin masih menjadi belenggu kepada guru dalam memastikan murid mematuhi peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, hukuman rotan sering digunakan sebagai pengajaran kepada murid yang melakukan kesalahan dan memberikan kesedaran kepada murid-murid lain. Namun, hukuman rotan yang digunakan oleh pihak sekolah telah menimbulkan isu-isu penderaan terhadap murid walaupun hukuman yang dijalankan adalah berdasarkan kesalahan yang dilakukan murid. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 7/2003: Kuasa guru merotan murid yang digubal sebagai panduan kepada pihak sekolah bagi melaksanakan hukuman rotan mengikut kesalahan yang dilakukan murid. Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 7/2003 menyatakan prosedur pelaksanaan hukuman rotan. Antaranya ialah guru biasa tidak dibenarkan merotan murid kecuali Guru Besar dan dilaksanakan mengikut syarat yang telah ditetapkan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 7/2003.



Artikel “Boleh rotan atau tidak” (myMetro, 10 Mei 2009) menyatakan Peguam Negara diminta membuat pertimbangan semula dan keputusan segera berhubung pelaksanaan hukuman merotan terhadap murid. Peraturan yang dibentuk melarang guru merotan murid yang melakukan kesalahan displin.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan hukuman rotan yang ingin dikaji dan dikuatkuasakan semula menghadapi beberapa halangan daripada pihak seperti badan bukan kerajaan, peguam dan ibu bapa yang menganggap hukuman rotan tidak bertujuan untuk mendidik tetapi bertujuan untuk mendera murid di sekolah. Masalah ini timbul kerana mentaliti segelintir masyarakat yang tidak faham dan sering menyalahkan guru walaupun guru menggunakan rotan untuk mendisplinkan sikap murid di sekolah dan bertujuan untuk membendung salah laku displin kembali berulang.

Artikel tersebut juga ada menyatakan tentang kelantangan pihak masyarakat terutamanya ibu bapa dalam mencantas perbuatan guru merotan murid. Pihak ibu bapa dan masyarakat diharap tidak mengambil langkah mudah untuk menggunakan saluran undang-undang bagi mengambil tindakan di atas tindakan guru yang merotan anak-anak mereka di sekolah. Ibu bapa dan masyarakat seharusnya sedar akan tanggungjawab mereka terhadap pembentukan displin dan memahami tugas guru yang menggalas tanggung jawab untuk mendidik dan memberi sokongan terhadap tindakan yang dibuat oleh pihak sekolah yang bertujuan memastikan dapat melahirkan anak bangsa yang bermutu.




2.0   PERKEMBANGAN HUJAH

Penggunaan hukuman rotan sebagai kaedah dendaan terhadap kesalahan displin yang dilakukan oleh murid diharap dapat mengubah displin murid. Walau bagaimanapun, penggunaan pelaksanaan hukuman rotan perlu dititikberatkan agar ia lebih memberikan impak positif kepada displin murid dan tidak melanggar etika keguruan. Namun, bagi sesetengah pihak berpendapat hukuman rotan yang telah dihentikan pada tahun 2006 merupakan satu tindakan yang tidak menjejaskan displin murid malah penggunaan pendekatan psikologi lebih berkesan bagi mengawal displin murid.

Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 7/2003, hanya Guru Besar yang dibenarkan melaksanakan hukuman rotan kepada murid yang melakukan kesalahan tertentu. Oleh itu, setiap salah laku murid perlu dirujuk kepada Guru Besar sebelum sebarang hukuman diberikan. Guru biasa tidak dibenarkan menjatuhkan hukuman rotan kepada murid yang melakukan sebarang kesalahan. Ini adalah kerana pelaksanaan hukuman rotan yang sering disalah erti oleh pelbagai pihak terutamanya ibu bapa telah menyebabkan pelaksanaan hukuman rotan dilihat tidak lagi releven dan efektif untuk dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, pelbagai isu yang timbul yang melibatkan displin murid dan kekejaman guru. Jadi, adakah pelaksanaan hukuman rotan ini masih releven atau tidak.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom tetap mengekalkan keputusan mengharamkan hukuman rotan ke atas murid yang melakukan kesalahan displin walaupun terdapat desakan supaya keputusan tersebut dikaji dan dikuatkuasa semula (Berita Harian, 29 Oktober 2008). Hukuman rotan yang digantikan dengan sesi kaunseling dan pendekatan psikologi untuk menangani dan menguruskan masalah displin diyakini lebih berkesan bagi memberi kesedaran kepada murid tanpa memberi kesan negatif terhadap aspek fizikal dan emosi. Hukuman rotan hanya akan digunakan setelah sesi kaunseling gagal untuk mendisplinkan murid.

Kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia disokong oleh pendapat Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia, Azam Mat Atan. Beliau berpendapat pelaksanaan hukuman rotan selepas sesi kaunseling gagal, dilihat paling berkesan bagi mendisplinkan pelajar terutama peringkat menegah (Berita Harian, 28 Ogos 2009). Tambahan beliau, pelaksanaan hukuman rotan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk memberi amaran pertama, kedua dan ketiga kepada murid sebelum melibatkan ibu bapa serta hukuman dilaksanakan oleh guru berkelayakan dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Seterusnya, pelaksanaan hukuman rotan selepas sesi kaunseling gagal memberi kesan kepada murid bermasalah mendapat respon daripada Pengerusi Majlis Permuafakatan Persatuan Guru Malaysia, Jemale Paiman iaitu beliau yakin akan keberkesanan hukuman yang dilaksanakan sejak sekian lama merupakan kaedah terbaik menangani masalah displin murid di sekolah dan akan mendapat sokongan ibu bapa. Sekiranya perbincangan dua belah pihak menemui jalan penyelesaiannya, maka sekolah tidak perlu menggunakan rotan sebagai hukuman (Berita Harian, 29 Oktober 2012)

Kajian yang dijalankan oleh Zainudin dan Jani menunjukkan persepsi ibu bapa bersetuju dengan pelaksanaan hukuman merotan yang dijalankan di sekolah berkaitan displin dan salah laku berat tetapi perlu mengikut garis panduan khusus, peraturan dan prosedur yang dibenarkan undang-undang. Berdasarkan hasil kajian “Persepsi Ibu Bapa Terhadap Hukuman Merotan Ke Atas Pelajar Yang Melakukan Kesalahan Displin di SMK Ulu Tiram, Johor Bahru” menunjukkan keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengekalkan pelaksanaan hukuman rotan hanya bagi kesalahan tertentu dan dilaksanakan oleh Guru Besar mendapat persetujuan dari pihak ibu bapa.


3.0   IMPLIKASI HUJAH

Hukuman rotan yang dimaksudkan hukuman dera dapat dikenakan tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran 1959 (Ang, 2007). Pelaksanaan hukuman rotan memberikan kesan dalam usaha guru mendidik murid dalam pelbagai aspek terutamanya kawalan displin. Implikasi pelaksanaan hukuman rotan di sekolah adalah:

  1. Membantu guru memberikan kesedaran kepda murid
  2. Memudahkan guru mencegah masalah displin
  3. Menjamin proses pengajaran dan pembelajaran lancar
  4. Timbul isu penderaan di sekolah
  5. Dianggap tindakan tidak berperikemanusiaan


Hukuman rotan yang berbentuk hukuman fizikal merupakan cara yang efektif dalam membentuk displin murid. Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 7/2003 telah menyatakan kesalahan-kesalahan yang dibenarkan hukuman rotan iaitu seperti melakukan pergaduhan atau kekerasan. Berdasarkan contoh kesalahan ini, hukuman rotan adalah relevan untuk dilaksanakan dengan bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada murid tentang kesalahan yang dilakukannya. Dengan adanya pelaksanaan hukuman rotan yang mendatangkan kesakitan dan kesan fizikal, ia akan menimbulkan rasa takut kepada murid untuk mengulangi perbuatan yang menyalahi peraturan displin sekolah. Oleh itu, dengan menggunakan hukuman rotan kepada murid yang melakukan kesalahan, ia akan memupuk rasa sedar yang dan dapat mengurangkan kekerapan masalah displin yang timbul. Dengan itu, ia akan membantu guru untuk memberikan kesedaran  kepada murid setelah mengulangi perbuatan tersebut berulang kali walaupun telah diberi amaran.

Hukuman rotan yang dijalankan mengikut prosedur yang betul boleh diaplikasikan sebagai langkah pencegahan agar murid-murid menjaga displin di sekolah. Walaupun hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan oleh Guru Besar, ia sekurang-kurangnya dapat membantu guru-guru menimbulkan rasa takut murid untuk melakukan kesalahan displin. Sebagai contoh, murid melakukan kesalahan ringan semasa di bilik darjah. Guru boleh menggunakan kuasa merotan murid dengan mengingatkan murid tentang kesalahan-kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman rotan oleh Guru Besar. Oleh itu, ia sedikit sebanyak dapat membantu dari segi psikologi untuk menimbulkan rasa menghormati guru walaupun guru tidak mempunyai kuasa untuk merotan murid. Dengan adanya hukuman rotan, guru dapat menggunakan cara mudah agar murid mematuhi displin semasa mengikuti proses pembelajaran.

Seterusnya, dengan adanya pelaksanaan hukuman rotan, ia dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Kaedah ini  sangat berkesan untuk membantu guru mengawal bilik darjah di samping melaksanakan pengajaran yang menggunakan pelbagai teknik terutamanya aktiviti yang melibatkan murid secara aktif. Tugas untuk memastikan semua murid menumpukan perhatian memerlukan guru sentiasa peka terhadap kelakuan murid. Sebagai contoh, murid yang kerap membuat bising di dalam kelas akan mengganggu murid lain yang sedang menumpukan perhatian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Hukuman rotan akan memngurangkan kekerapan perbuatan tersebut kerana hukuman fizikal lebih berkesan berbanding hukuman psikologi. Oleh itu, penggunaan hukuman rotan merupakan langkah mudah untuk mengawal tingkah laku murid semasa di dalam bilik darjah.

Walau bagaimanapun, isu penyalahgunaan rotan semakin kerap tersiar di dada-dada akhbar temapatan yang menunjukkan kesalahan guru semasa menjatuhkan hukuman rotan. Isu penyalahgunaan rotan yang pernah menghias dada akhbar adalah mengisahkan tentang seorang murid sekolah tahfiz dirotan sebanyak 10 kali oleh gurunya sehingga berdarah yang berpunca daripada seorang rakannya mengadu mengenai perbuatan murid tersebut yang mengejeknya sehari sebelum itu (Meor Riduwan & Mohd Zaidi, myMetro). Hukuman rotan yang dijalankan adalah menyalahi undang-undang kerana tidak mengikut prosedur hukuman rotan dalam  Surat Pekeliling Ikhtisas bil 7/2003 iaitu:

·    Kesalahan murid adalah mengganggu kawan iaitu dikategorikan sebagai kesalahan ringan dan hukumannya adalah diberi amaran dan sesi kaunseling tetapi murid dihukum rotan.
·     Guru tidak adil kerana merotan murid tersebut sebanyak 10 kali manakala rakan lain yang membuat kesalahan sama dirotan hanya sebanyak tiga hingga empat kali sahaja.
·       Hukuman rotan dijalankan oleh guru biasa.

Berdasarkan artikel tersebut, terbukti pelaksanaan hukuman rotan memberikan implikasi negatif kepada profesion guru. di mana hukuman rotan bukan satu tindakan yang boleh mengatasi masalah displin murid secara mutlak dan berkekalan. Hukuman rotan dilaksanakan kepada murid yang melakukan kesalahan berulang kali. Sebagai contoh, murid melakukan kesalahan melibatkan diri dalam pergaduhan akan dijatuhkan hukuman rotan tiga kali di punggung. Walau bagaimanapun, segelintir guru yang kadang-kala tidak dapat mengawal emosi akan melaksanakan hukuman mengikut perasaan dan boleh memberikan kecederaan fizikal terhadap murid. Seterusnya, kesan kecederaan fizikal tersebut boleh menimbulkan prasangka negatif ibu bapa dan beranggapan hukuman yang diberikan adalah tidak relevan dengan kesalahan yang dilakukan. Oleh itu, hukuman rotan ini perlu dilaksanakan dengan teliti kerana kesilapan guru akan menimbulkan perspektif negatif masyarakat dan seterusnya timbul pelbagai isu penderaan yang dianggap disengajakan oleh guru.

Hukuman rotan boleh dianggap tindakan yang tidak berperikemanusiaan sekiranya menyebabkan kecederaan yang serius seperti yang sering dilaporkan di dada-dada akhbar masa kini. Ini merupakan impak negatif yang perlu dihadapi oleh guru tentang spekulasi masyarakat terhadap tindakan guru walaupun ia bertujuan untuk mendidik. Menurut Mohd Rashid (2006), terdapat golongan yang menolak hukuman rotan walaupun ia dijalankan berlandaskan alasan. Merotan dianggap satu seksaan ke atas kanak-kanak yang tidak berperikemanusiaan. Kanak-kanak pada umur persekolahan masih tidak matang dan cara terbaik adalah dengan memberikan nasihat. Hukuman rotan akan menyebabkan kecedaraan sekiranya guru tidak menjalankan hukuman rotan dengan sempurna dan tidak berhati-hati.

Sebagai contoh, guru menjalankan hukuman rotan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bil 7/2003 iaitu merotan murid pada bahagian kaki dan badan. Kesan rotan akan kekal dibahagian badan dan menimbulkan prasangka pada ibu bapa. Seterusnya, ibu bapa mengambil langkah mudah iaitu menggunakan saluran undang-undang untuk menyaman guru. Tindakan ibu bapa akan mencalarkan nama profesion keguruan hanya disebabkan oleh kesalahan kecil merotan murid tanpa mengikut prosedur yang betul. Oleh itu, majoriti ibu bapa bersetuju sekiranya hukuman rotan tidak dilaksanakan di sekolah.

Tanpa pelaksanaan hukuman rotan di sekolah, masalah displin hanya dapat di atasi dengan cara psikologi dan kaunseling. Penarikan balik hukuman rotan di sekolah telah membuka ruang kepada murid untuk lebih berani bertindak memandangkan risiko untuk dihukum rotan adalah tipis. Tambahan sifat semula jadi kanak-kanak adalah untuk belajar melalui pengalaman dengan kaedah mencuba sesuatu yang baru telah mendorong murid untuk melakukan sebarang perkara tanpa perasaan takut akan akibatnya kerana tiada hukuman berbentuk fizikal yang akan diterima.

Sebagai contoh, murid mempunyai rasa ingin tahu untuk mencuba menghisap rokok. Murid bertambah berani untuk mencuba kerana pada anggapan mereka kesalahan pertama hanya diberi amaran dan ia tidak mendatangkan kesan yang serius terhadap diri sendiri. Namun, sekiranya ia menjadi satu keseronokan, tabiat ini akan menular sabagai  masalah displin yang sukar untuk dihentikan. Seterusnya, ia akan menjadi masalah kepada guru untuk mengawal tingkah laku murid bermasalah tanpa penggunaan rotan. Ia berpunca daripada tiada pencegahan awal yang serius di ambil oleh guru dan guru juga akan disalahkan kerana tidak menjalankan tugas kerana semakin banyak masalah displin yang berlaku.

Apabila berlakunya peningkatan masalah displin di sekolah, guru perlu menggalas pelbagai beban tugas selain mengajar. Guru perlu menggantikan ibu bapa iaitu sebagai penjaga murid ketika murid-murid di sekolah. Bebanan tugas guru boleh memberikan tekanan semasa menjalankan tugas. Menurut Sapora Sipon (2007), dalam artikel “Pendidik mesti bijak kawal emosi” menyatakan masalah displin sememangnya boleh menggugat emosi guru dan jika ia tidak ditangani dengan baik, guru cenderung untuk bertindak di luar emosi.

Apabila menghadapi tekanan, seseorang individu akan gagal untuk bertindak dengan baik dalam membuat keputusan dan tindak-tanduknya akan menjadi tidak rasional. Implikasinya, ia akan membahayakan murid di mana guru mungkin akan bertindak di luar batasan kerana sudah tidak tahan dengan kelakuan murid yang semakin mencabar kewibawaan seorang guru. Sebagai contoh, artikel yang diterbitkan Sinar Harian pada 17 Ogos 2012, seorang guru telah menampar seorang murid sehingga menyebabkan gegendang telinga pecah. Ia bermula apabila murid tersebut mengejek guru sebelum guru tersebut “naik minyak” dan bertindak menampar murid tersebut sehingga telinganya berdarah. Kejadian ini merupakan salah satu contoh di mana seorang guru yang tidak dapat menahan emosinya lalu menggunakan kekerasan bagi menghukum murid yang bersikap tidak menghormati guru.

Berdasarkan kes yang pernah berlaku, guru masa kini bukan sahaja perlu menghadapi masalah yang dilakukan murid malah perlu bertanggungjawab dan perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah ibu bapa. Pada masa kini, ibu bapa lebih memanjakan anak-anak berbanding mengutamakan displin anak-anak walaupun tujuan guru adalah untuk mendidik. Tindakan guru sering disalahertikan dan perlu berhadapan dengan spekulasi masyarakat yang menggunakan saluran undang-undang bagi menyebelahi nasib anak mereka. Oleh itu, pada pandangan saya penarikan balik pelaksanaan hukuman rotan akan mendatangkan pelbagai implikasi. Ia bukan sahaja menjurus kepada peratus masalah displin malah ia akan menggugat pencapaian akademik murid seterusnya mempengaruhi kestabilan emosi dan kemampuan guru untuk bertindak sebagai seorang yang profesional. Hasilnya, ia akan mengganggu dan menyukarkan tugas guru untuk mendidik murid.


4.0   CADANGAN

Oleh itu, pada pandangan saya guru perlu menggunakan pendekatan baru yang lebih efektif bagi mengatasi kesalahan displin sederhana dan ringan. Langkah bagi memastikan displin murid dibendung walaupun tanpa penggunaan rotan adalah dengan menggunakan psikologi yang memerlukan kemahiran guru. Ia bukan satu perkara mustahil walaupun ia mampu mencabar karisma seorang guru yang profesional. Langkah yang boleh diambil adalah seperti di bawah.

  1.  Guru sebagai egen perubahan
  2. Program bridget komuniti
  3. Penglibatan ibu bapa

  
Langkah pertama yang  perlu dilakukan adalah dengan mewujudkan hubungan selesa di antara guru dan murid. Oleh kerana masalah displin berlaku di sekolah, maka guru perlu mendekatkan murid yang bermasalah dengan sekolah. Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2010), peranan guru sebagai agen perubahan adalah untuk membawa perubahan baru untuk memenuhi aspirasi dan kehendak murid yang semakin kompleks dan progresif. Perubahan yang dilaksanakan perlu berasaskan pemusatan murid, mengamalkan sifat penyayang dan bersikap terbuka secara proaktif. Ketiga-tiga asas perubahan ini dapat membantu guru merasionalkan fikiran murid seterusnya membantu murid keluar dari masalah displin yang sering membelenggu dirinya. Pada pandangan saya, guru yang berkemahiran dan berkelulusan tidak mempunyai masalah dalam mengaplikasikan langkah ini kerana guru yang terlatih telah mendapat latihan yang melayakkan guru ditugaskan di sekolah. Bekalan kemahiran yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam mengatasi masalah displin tanpa menggunakan hukuman rotan malah dapat menarik minat murid untuk berubah dengan adanya kemahiran psikologi dari guru.
           
            Seterusnya, setelah menjadi sebahagian dari diri murid iaitu sebagai agen perubahan, guru boleh menggunakan kaedah motivasi yang melibatkan murid dalam aktiviti komuniti. Program seperti ini boleh dilaksanakan sekiranya pendekatan pertama iaitu guru sebagai agen perubahan gagal menemui jalan penyelesaian. Menurut Mohd Ismail (2006), program bridget komuniti adalah bertujuan untuk melibatkan pihak selain guru seperti pertubuhan badan berkanun untuk membantu sekolah dalam usaha untuk mendisplinkan murid. Langkah seperti ini mampu mewujudkan kerjasama di antara dua pihak agar sedar tentang tanggungjawab mendisplinkan murid-murid. Memandangkan pelaksanaan hukuman rotan mendapat tentangan dari masyarakat, maka pihak sekolah dapat meringankan beban para guru dengan menggembeling tenaga pelbagai pihak bagi membendung masalah displin murid di sekolah dan di luar sekolah. Pada pandangan saya, sekiranya program bridget komuniti ini berjalan seperti yang dirancangkan, masalah displin yang serius akan berkurangan atau sekurang-kurangnya ia dapat dikawal pada tahap yang minimum dan hukuman rotan tidak lagi diperlukan bagi mengatasi masalah displin.

            Pelbagai program dan langkah penyelesaian yang diambil tidak dapat membantu guru untuk memberi kesedaran kepada murid yang bermasalah, maka langkah terakhir adalah dengan melibatkan ibu bapa bagi berkolaborasi dan berbincang tentang masalah yang dihadapi oleh murid. Ini adalah kerana masalahyang dihadapi murid bukan berpunca daripada rakan mahupun guru di sekolah tetapi institusi keluarga yang menyumbang kepada salah laku murid di sekolah. Oleh itu, kerjasama yang wujud antara guru dan ibu bapa dapat membantu membendung salah laku murid agar tidak menjdai lebih parah kerana adanya kawalan di sekolah dan di rumah. Di samping itu, peranan ibu bapa dalam memberikan kasih sayang, bekalan ilmu agama dan menjadi contoh teladan yang baik dapat menyumbang kepada pengurangan masalah displin murid di sekolah. Persekitaran di rumah banyak mempengaruhi dan menjadi punca utama murid bertingkah laku baik atau sebaliknya. Sekiranya segala usaha yang dilakukan di sekolah gagal membuahkan hasil, maka guru perlu merujuk kembali pada latar belakang murid yang dapat membantu guru atasi masalah displin murid. 


5.0   RUMUSAN

            Berdasarkan perbincangan dan bukti yang dikemukakan, terbuktilah bahawa hukuman rotan mendatangkan pelbagai implikasi sama ada dari aspek positif mahupun negatif. Pelaksanaan hukuman rotan wajar dilaksanakan di sekolah memandangkan terdapat kes-kes displin yang menyalahi kesalahan berat dan menuntut pihak sekolah untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal dan dapat memberikan kesedaran kepada murid yang melakukan kesalahan. Pada pandangan saya, cara didikan murid masa kini perlu disuaikan dengan peredaran zaman. Hukuman rotan bukanlah pilihan pertama yang efektif bagi membantu guru atasi masalah murid di sekolah.

Namun begitu hukuman rotan tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya malah perlu dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Di samping itu, guru perlu memahami bahawa hukuman rotan merupakan alternatif yang terakhir selepas semua langkah penyelesaian telah diambil. Dengan cara ini, guru dapat mengelakkan perspektif negatif dari masyarakat terutamanya murid dan ibu bapa. Justeru, guru perlu bijak dalam mendidik murid masa kini yang terdedah dengan pelbagai infomasi dan peluang. Pengurusan kendiri emosi guru dan pendekatan yang sesuai akan membantu guru membentuk anak bangsa yang seimbang seterusnya mengekalkan profesion keguruan sebagai suatu pekerjaan yang mulia.

Tambahan, sekiranya guru bijak berkolaborasi dengan semua pihak dalam pelbagai perancangan yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, masalah yang telah lama menjadi duri dalam daging ini akan dapat diselesaikan dengan saksama dan impian sekolah untuk melahirkan insan yang berguna dapat direalisasikan tanpa sebarang halangan.





1 comment:

  1. point2 untuk kesan positif dan kesan negatif ada tak?
    karangan untuk pelajar stpm disediakan tak?

    ReplyDelete