PENGENALAN
Sudah banyak kes-kes masalah gejala sosial dalam kalangan remaja di
negara Malaysia yang selalu kita dengari. Lewat kebelakangan ini, kes buang
bayi pula yang sering mencuri tumpuan. Salah siapa masalah ini terjadi? Adakah
salah ibu bapa yang tidak pandai menjaga anak? Adakah salah media masa yang
memberi pengaruh negatif atau salah guru yang tidak tahu mengajar? Masalah ini
tidak akan selesai jika semua pihak saling menuding jari mencari kesalahan.
Masalah ini perlu dibanteras dari akar umbinya supaya pucuk masalah baru tidak
tumbuh lagi.
Satu artikel
bertajuk “PEERS semai nilai positif” (Kosmo, 3 Januari 2011) menerangkan tentang
kandungan kurikulum seks sekolah. Artikel itu menerangkan “PEERS adalah satu proses
sepanjang hayat untuk memperoleh pengetahuan dan membentuk sikap, nilai serta kepercayaan
terhadap identiti, perhubungan serta keintiman sesama individu,” kata Datuk Julaihi
Bujang, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM. Dalam pada itu, PEERS
diharap dapat mengurangkan masalah gejala sosial, masalah pembungan bayi,
peningkatan anak luar nikah, masalah AIDS , dan pelbagai lagi masalah yang berpunca
daripada pergaulan bebas lelaki dan perempuan.
Kajian yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada
tahun 1997 membuktikan bahawa pendidikan seks telah melambatkan usia remaja
untuk melakukan hubungan seks sekali gus menurunkan kadar perlakuan seks,
kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja, pengguguran bayi, selain
meningkatkan penggunaan kondom (Azriani Ab Rahamn, 2010). Jika di negara barat,
mereka ‘menghalalkan’ hubungan seks tanpa nikah dan menekankan kepentingan penggunaan
kaedah pencegahan seperti kondom. Kita seharusnya menyakinkan remaja kita bahawa mereka patut berbangga memilih untuk
tidak langsung melakukan hubungan seks sebagai kaedah pencegahan kehamilan.
PERKEMBANGAN HUJAH-HUJAH
Setelah
sekian lama Kementerian Pelajaran Malaysia merancang dan meneliti kurikulum
pendidikan seks di sekolah, akhirnya PEERS mula dilaksanakan pada awal tahun
persekolahan 2011 bagi murid-murid tahun satu di bawah kurikulum baru iaitu
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Manakala Kurikulum Standard Sekolah
Menengah (KSSM) akan menemui pelajar tingkatan satu bermula tahun 2014.
PEERS
sebenarnya sudah dilaksanakan sejak 1989 di sekolah menengah dan 1994 di
sekolah rendah tetapi ditumpangkan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan
kesihatan. Istilah PEERS menggantikan Pendidikan Kesihatan Keluarga (1989-2002)
dan Pendidikan Seksusliti (2003-2005). Bermula tahun 2011, kementerian
memutuskan Pendidikan Kesihatan yang ada di dalamnya PEERS akan diajar secara
berasingan sebagai satu mata pelajaran yang tidak lagi bercantum dengan
mana-mana pelajaran lain. Berikut ialah kandungan kurikulum pendidikan
kesihatan reproduktif dan sosial (PEERS) di peringkat sekolah rendah dan
menengah:
Tahap 1 (Tahun 1–3)
|
Tahap 2 (Tahun 4-6)
|
·
Perbezaan fizikal lelaki dan perempuan
·
Tanggungjawab menjaga kebersihan diri.
·
Kepentingan memelihara kehormatan diri.
·
Pengurusan perasaan.
·
Kemahiran mengatakan tidak kepada sentuhan tidak selamat.
|
·
Perubahan fizikal.
·
Pengurusan konflik.
·
Sistem reproduktif.
·
Kemahiran memelihara kehormatan diri
·
Risiko perhubungan seks sebelum perkahwinan.
·
Jangkitan penyakit seksual.
·
Kemahiran mengatakan tidak kepada rokok, dadah, dan
alkohol.
|
Jadual 1: Kurikulum PEERS
peringkat rendah
Peringkat menengah
rendah
|
Peringkat menengah atas
|
·
Pengurusan tekanan.
·
Jangkitan penyakit kelamin.
·
Perkembangan sifat seksual sekunder
·
Kecekapan psikososial & kemahiran menangani situasi
berisiko.
|
·
Kecekapan psikososial.
·
Kestabilan emosi dan mental.
·
Kehamilan remaja.
·
Kekeluargaan.
·
Jangkitan penyakit seksual.
·
Langkah pengawalan dan pencegahan rokok dan dadah.
|
Jadual 2: Kurikulum PEERS
peringkat menengah
Kementerian
menetapkan subjek PEERS diajar selama 40 minit, dua kali sebulan di sekolah
menengah dan 30 minit setiap sekali seminggu di sekolah rendah. Pembahagian
kandungan dalam Pendidikan Kesihatan dibahagikan sebanyak 75 peratus untuk
PEERS, 15 peratus berkenaan pemakanan kanak-kanak dan 10 peratus akan diajarkan
teknik pertolongan cemas dan keselamatan. Perkara-perkara
yang terdapat dalam kurikulum Pendidikan Kesihatan sekolah rendah adalah kesihatan diri dan reproduktif, penyalahgunaan bahan, kemahiran pengurusan mental dan emosi, kekeluargaan, perhubungan serta pencegahan penyakit (3 Januari 2011).
Menurut ahli Psikologi Perkembangan Manusia Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Dr. Khaizil Ismail memberitahu, pendidikan seks perlu diajar
secara menyeluruh serta dipandang dari sudut positif berikutan usaha untuk
memberi pengetahuan dalam bidang ini adalah langkah yang murni (Kosmo, 3
Januari 2011). “Setiap agama mengulas ajaran berkaitan seks dan pengetahuan ini
akan membantu individu mengubah sikap dan memberikan kesedaran dan mencorak
pemikiran,” ulas beliau. ,Masalah timbul apabila individu itu sendiri tidak
mabu mengubah sikap terutama apabila melibatkan kes-kes masalah sosial golongan
kanak-kanak dan remaja.
Pakar sakit tuan, Dr. Ismail Thambi berkata, mata pelajaran pendidikan
seks harus dilaksanakan di sekolah sebgaai usaha mendidik dan menyedarkan
golongan muda tentang gejala seks
rambang. “Jika pelajaran seks dilaksanakan di sekolah, yang paling penting
bukannya kita hendak mengajar mereka melakukan seks dengan selamat dan
sebagainya, tetapi apa kesannya terhadap diri sendiri dan masyarakat
sekeliling,” katanya lagi (Utusan Malaysia, 25 Ogos 2010). Menurutnya
tanggungjawab sosial itu harus dipikul bersama oleh semua pihak tanpa hanya
menyandarkan kepada pihak-pihak tertentu sahaja bagi memastikan ia mencapai
matlamat dalam menyedarkan golongan muda mengenai peranan seks yang sebenar.
Ada pihak yang melahirkan kebimbangan
terhadap PEERS kononnya pendidikan itu akan menggalakkan seks bebas dalam
kalangan remaja. Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara
(LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, “PEERS lebih menyeluruh iaitu
merangkumi pengetahuan dari aspek biological, sosiobudaya, kematangan emosi,
kematangan mental dam kerohanian berbanding dengan pendidikan seks yang hanya
tertumpu pada aspek biologi sahaja,” (Utusan Malaysia, 3 April 2010).
Pendedahan mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan seks dilihat
kurang berkesan kerana ibu bapa dan guru-guru segan membincangkan perkara itu
secara terbuka (Utusan Malaysia, 23 Mac 2012). Perkara ini diulas oleh
Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif (FRHAM),
Dr. Kamaruzaman Ali berkata, tidak banyak ibu bapa mampu membincangkan mengenai
perkara pendidikan tersebut dengan anak-anak sedangkan mereka adalah individu
paling layak.
Hal
ini berkemungkinan berlaku kerana beberapa faktor. Antaranya ialah ibu bapa
tidak mempunyai pengetahuan asas tentang subjek seks, guru mengelak daripada
membincangkan topik berkaitan reproduktif dan seks, dan juga masyarakat yang masih
memandang negatif terhadap pendidikan seks. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr.
Puad Zarkashi berkata peranan ibu bapa serta penerimaan masyarakat adalah
penting bagi membantu guru dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan kurikulum
pendidikan kesihatan reproduktif ini kepada pelajar. “Sikap keterbukaan ibu
bapa dalam membincangkan hal-hal berkaitan seksualiti dengan anak-anak mereka
sendiri dan sokongan pihak –pihak lain kepada guru secara tidak langsung dapat
membantu keberkesanan kurikulum ini di sekolah,” (Utusan Malaysia, 27 April
2010).
IMPLIKASI HUJAH-HUJAH
Kanak-kanak dan remaja mempunyai sifat ingin tahu atau inkuisitif yang
tinggi. Kenyataan ini dibuktikan melalui soalan-soalan yang kerap ditanya
dengan tujuan mendapatkan penjelasan dan kefahaman berhubung sesuatu yang
menarik perhatian mereka. Contohnya soalan kanak-kanak yang tidak diduga “Baby datang dari mana?” Jika kanak-kanak
bertanya soalan seperti ini, apakah jawapan yang patut diberi? Orang dewasa
sering mengelak untuk menjawab soalan berkaitan dengan reproduktif dan seks
dengan kanak-kanak kerana mereka menganggap kanak-kanak masih kecil dan tidak perlu
tahu apa-apa mengenainya. Akibatnya kanak-kanak mempunyai konsep yang salah
sehingga mereka besar dan mereka hanya mengetahui tentang perkara tersebut
apabila sudah dewasa.
Sifat ingin tahu kanak-kanak dan remaja tidak terbatas dan mereka akan
mencari jawapan kepada persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran mereka.
Perasaan ingin tahu mereka boleh membawa mereka untuk mencari jawapan di
internet. Perkara ini akan menjadi lebih teruk jika kanak-kanak atau remaja
mendapat maklumat yang salah atau maklumat lain yang tidak sepatutnya bagi
peringkat umur mereka. Lebih-lebih lagi pada masa kini, mereka dimomokkan
dengan hiburan yanga banyak bertumpu kepada perkara seperti anggota badan
perempuan, hubungan keintiman, seks, dan lain-lain. Perkara seperti ini mudah
didapati di mana-mana seperti dalam permainan video, cerita-cerita di televisyen,
majalah, komik dan lain-lain.
Adalah penting bagi kanak-kanak dan remaja mendapat pengetahuan
pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang betul dari sumber yang
dipercayai daripada mereka berimaginasi sendiri atau mereka mencarinya di
internet. Pengetahuan ini boleh didapati di sekolah di mana murid boleh
bertanya dan berbincang dengan guru tentang sesuatu yang mereka ingin tahu. Cara
ini lebih selamat dan dapat mengelak murid dari mendapat pengetahuan yang salah
dan mempunyai pemikiran yang kotor.
Pendidikan seks perlu segera diajar di sekolah bagi mengurangkan masalah
keruntuhan akhlak dan sosial dalam kalangan remaja pada hari ini, kata Presiden
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Hashim Adnan. Beliau berkata
pendidikan itu akan memastikan remaja dan kanak-kanak mendapat pendidikan
formal dan panduan yang betul tentang seks, seterusnya mengelakkan mereka
mencari maklumat sendiri dan tersalah tafsir (Utusan Malaysia, 19 Mac 2010).
Berikut merupakan kebaikan PEERS:
·
Meningkatkan keprihatinan remaja terhadap
gejala negatif seks.
·
Murid tidak mudah terpengaruh dan terbabit
dengan kegiatan maksiat.
· Mengenal pasti dan membezakan nilai murni
kemanusiaan dan kehidupan dengan lebih rasional.
·
Dapat mengubah tanggapan remaja terhadap seks
kepada persepsi yang lebih insani dan suci.
· Remaja lebih berkeyakinan membincangkan isu
seks dan mengadukan masalah yang mereka hadapi atau berusaha mencari
penyelesaiannya.
·
Mengetahui kesan buruk hubungan kelamin dan
penyakit yang merebak melaluinya.
Berikut merupakan keburukan PEERS:
·
Murid mengganggap seks dari aspek yang
berasingan.
·
Merangsang keinginan mencuba melakukan
hubungan jantina dalam kalangan remaja.
· Kecenderungan meletakkan kepercayaan dan
keyakinan kepada pengetahuan semata-mata untuk mengubah sikap dan tingkah laku
adalah berbahaya.
· Remaja akan menggunakan kaedah mencegah
kehamilan dengan lebih kerap untuk melakukan apa yang digelar sebagai seks
selamat.
· Pengenalan pendidikan seks akan dianggap oleh
remaja sebagai penurunan kuasa dan hak seks masing-masing.
·
Kerosakan kepada norma sosial dan nilai
keagamaan yang sukar diperbaiki.
CABARAN KEPADA GURU
Satu artikel telah dikeluarkan oleh Berita Harian bertarikh 23 Mac 2010
yang bertajuk “Guru Malaysia belum sedia ajar subjek seks.” Artikel ini
mempersoalkan kredibiliti guru dalam mengajar subjek seks di sekolah. Guru
dikatakan belum bersedia kerana kurang latihan professional dalam subjek
tersebut, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP), Lok Yim Pheng. Katanya, ada guru takut mungkin disaman oleh ibu bapa
murid jika melakukan kesilapan dalam menyampaikan pengetahuan seks kepada anak
mereka.
Guru tidak yakin untuk mengajar subjek seks kerana bimbang mungkin akan
menyentuh sensitiviti berikutan terdapat pelbagai bangsa, agama dan budaya
dengan setiap etnik mempunyai tanggapan masing-masing mengenai subjek itu yang
menjadikan pengajarannya lebih mencabar. Perkara ini harus ditangani dengan
berhati-hati kerana pendidikan seks mudah disalahtafsirkan dan boleh
menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak disampaikan
dengan betul (Berita Harian, 23 Mac 2010).
Pada
tahun 2011, guru-guru yang mengajar subjek pendidikan kesihatan reproduktif dan
seks diberi latihan dan perlu menjalani sesi orientasi dengan jurulatih yang
dikhaskan oleh kementerian. Perkara ini sangat penting bagi menjamin penyaluran
pengetahuan yang tepat kepada para pelajar. Menurut Pakar Seksual Reproduktif
Lelaki dan Perempuan Hospital Damai Service, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Thambi,
PEERS mungkin boleh diajar oleh guru-guru pendidikan moral, namun isi kandungan
yang berkaitan sains seperti sistem reproduktif, maklumat kehamilan dan
kelahiran serta penyakit-penyakit kelamin perlu dihuraikan oleh individu-individu
yang benar-benar arif (Kosmo, 3 Januari 2011).
Menurut
beliau lagi, “Cara pelajar menjaga maruah diri dan perkara berkaitan bidang
sains boleh diajar oleh mana-mana guru namun sekiranya ada sesi soal jawab
antara pelajar dan guru, perkara yang janggal akan timbul jika seseorang
pendidik itu tidak mahir sepenuhnya. Pelajar juga berkemungkinan akan
bertanyakan soalan yang tidak bersangkutan tentang seks seperti orientasi
seksual dan ketika inilah kredibiliti pendidikan bakal teruji”.
Penyampaian
yang betul oleh warga pendidik amat penting berikutan risiko penyalahgunaan
pengetahuan yang diterima pelajar adalah tinggi. Imaginasi kanak-kanak dan
remaja sangat tinggi dan kreatif. Pemikiran mereka kadang-kala melampaui apa
yang mereka dengar. Oleh itu, guru harus bijak dalam menyampaikan dan
membincangkan perkara-perkara berkaitan reproduktif dan seks.
Hal ini boleh membuatkan guru dilema antara tugas mengajar subjek seks
seperti yang di arah oleh kementerian atau kebimbangan menyentuh sensitiviti
fahaman agama dan kaum. Ini bukan tugas yang mudah untuk guru laksanakan
terutama untuk mengajar perkara yang sebelum ini dibincangkan secara tertutup.
Malah guru perlu mengajar subjek ini di dalam sebuah kelas bercampur lelaki dan
perempuan. Saya yakin guru juga mempunyai perasaan malu dan segan untuk
membincangkan perkara yang dianggap sensitif oleh masyarakat dengan murid-murid
yang masih berusia setahun jagung. Walaupun murid-murid ini masih dalam
peringkat umur yang muda tetapi murid sudah boleh memahami apa itu seks,
anggota reproduktif, dan sebagainya.
Perkara ini menuntut seorang guru yang mempunyai pengetahuan yang
mendalam tentang pendidikan seks untuk mengajar subjek ini. Jadi kementerian
perlu teliti dalam memilih calon guru yang sesuai. Bagi merealisasikan tujuan
ini, guru-guru yang mengajar subjek PEERS perlu diberi latihan dan kursus bagi
meningkatkan pengetahuan dan memantapkan kemahiran professional guru dalam
menyahut cabaran pendidikan semasa. Latihan dan kursus ini memerlukan jurulatih
yang pakar dalam bidang berkaitan seperti biologi dan lain-lain.
Pertubuhan guru membantah cadangan memperkenalkan pendidikan kesihatan
reproduktif sebagai satu subjek di sekolah kerana ia disifatkan bukan
penyelesaian kepada masalah sosial dalam kalangan remaja, sebaliknya hanya
menambah beban guru (Berita Harian, 22 April 2010). Yang Dipertua Persidangan
Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM), Azam Md Atan,
turut membantah cadangan itu dan menegaskan usaha membanteras gejala seks bebas
dan buang bayi bermula di rumah. “Asas didikan fardhu ain oleh ibu bapa di
rumah amat penting untuk mengelakkan remaja daripada muda terjebak dengan
gejala itu. Justeru PKPSMM tidak mempersetujui idea itu kerana ia jelas bukan
langkah penyelesaian sebenar. Tambahan pula, beban tugas guru sudah terlampau
banyak di sekolah” katanya.
Mengajar adalah core-business
seorang guru. Jadi sepatutnya tidak timbul pengajaran PEERS boleh menambah
beban tugas guru kerana tugas utama guru adalah mengajar. Mungkin pada mulanya
tugas guru yang mengajar PEERS banyak kerana guru PEERS perlu menghadiri kursus
dan latihan khusus sebelum mengajar subjek ini. Tetapi kursus ini juga adalah
untuk meningkatkan kemahiran profesional guru. Guru yang berkualiti adalah guru
yang mempunyai ilmu yang luas dan mendalam terutamanya dalam subjek yang
diajar. Kursus dan latihan ini juga termasuk dalam tugas rasmi seorang guru.
Kesimpulannya, PEERS tidak menambah beban tugas guru.
Berkaitan usaha membanteras gejala seks bebas dan buang bayi, semua
pihak harus memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa di rumah berperanan
menjaga dan melindungi anak-anak mereka di samping memberi didikan agama sejak
dari kecil. guru di sekolah memberi pengetahuan dan menerapkan nilai-nilai
murni, organisasi NGO pula menyumbang dengan kempen dan begitu juga dengan
pihak-pihak lain.
CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Masyarakat pastinya ingin tahu apakah kandungan pelajaran yang digubal
untuk pendidikan PERRS ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
berkata, satu jawatankuasa yang akan dianggotai pakar bidang pendidikan seks,
biologi dan hal berkaitan akan mengkaji kurikulum berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif
dan seks dengan teliti. Oleh itu, banyak pendapat telah dilontarkan oleh
ahli-ahli ilmiah berkenaan kurikulum yang sesuai untuk dimasukkan dalam
kurikulum pendidikan PEERS.
Bagi menambahbaik kurikulum pendidikan PEERS, pendidikan seks perlu berlandas ajaran Islam (Harian Metro, 31 Mac
2010). Dalam Islam, pendidikan seksual adalah sebahgian daripada pendidikan
akhlak iaitu mendidik nafsu dan memberi pengajaran bagi manusia supaya beriman
dan mematuhi segala perintah dan menjauhi larangan-Nya. Akhlak mengajar
seseorang supaya bersifat malu membuat sesuatu yang salah atau tidak sopan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila hilang budaya malumu, maka
kamu akan lakukan apa saja yang kamu kehendaki.” (Riwayat al-Bukhari). Oleh
yang demikian, pendidikan akhlak dan nilai murni harus dititikberatkan dalam
kurikulum pendidikan seks. Pendidikan seks perlu mempunyai matlamat untuk
melahirkan remaja yang mempunyai ilmu pengetahuan seks yang tinggi dibatasi
pendidikan agama dan moral.
Dalam konteks masyarakat di Malaysia, faktor budaya etnik memainkan
peranan penting dalam soal berkaitan seks. Sebagai contoh masyarakat Melayu
sejak dulu tidak akan memperkatakan dan bercakap mengenai seks secara terbuka.
Oleh itu, pendidikan seks yang perlu
disampaikan mestilah mengikut perkembangan peringkat umur dan kematangan seseorang.
Pendidikan untuk kanak-kanak peringkat umur awal haruslah mengenai perkara asas
seperti bahagian-bahagian tubuh yang boleh disentuh dan tidak boleh disentuh
oleh orang lain, sentuhan yang tidak dibenarkan antara lelaki dan perempuan,
menjaga kebersihan diri dan pakaian dan lain-lain. Kanka-kanak pada peringkat
rendah tidak perlu yang mengetahui perkara-perkara berkaitan seksualiti yang
lain seperti bagaimana kehamilan boleh berlaku, cara mencegah kehamilan, dan
hal-hal lain yang tidak sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.
RUMUSAN
Pada awal perancangan untuk
melaksanakan PEERS di sekolah banyak pihak yang menentang usul ini kerana adat
budaya timur yang tidak membincangkan perkara berkaitan seks secara terbuka.
Perbincangan berkenaan pengetahuan seks biasanya dibincangkan dalam kalangan
orang yang berkepentingan seperti pesakit dan doktor, seminar kesihatan,
seminar perkahwinan, dan sebagainya secara tertutup. Setelah kementerian
mengkaji baik dan buruk serta merancang kurikulum yang sesuai, PEERS mula
diterima oleh masyarakat kerana PEERS mengajar tentang nilai-nilai murni
seperti kebersihan diri dan menjaga maruah diri.
Saya menyambut baik hasrat kementerian supaya PEERS diajar di sekolah
kerana terdapat pelbagai pelajaran yang terkandung di dalamnya seperti pelajaran
sains perbezaan fizikal lelaki dan perempuan, aspek kesihatan, aspek
keselamatan cara melindungi diri dari perkara yang tidak selamat, pengurusan
konflik dan lain-lain. Menurut pakar seksologi, Dr. Angelo Grazioli, pendidikan
seks yang berkesan sepatutnya bersifat holistik (menyeluruh). Pendidikan seks
perlu melibatkan pembangunan insan, kemahiran interpersonal, hubungan
masyarakat yang baik, tingkah laku seksual, kesihatan seksual, dan masyarakat
dan kebudayaan.
Saya juga lebih menyukai jika PEERS diajar dengan bertunjangkan ajaran
agama kerana agama mengajar tentang perkara yang baik dan menegah dari
melakukan perkara mungkar (kejahatan). Ajaran agama juga mengawal perkara buruk
dari akar umbinya. Langkah pencegahan yang telah diajar oleh agama untuk
mengawal nafsu agar tidak terangsang dan terdorong untuk berzina seperti tidak
tidak menonton bahan lucah, berpakaian sopan, dan tidak berdua-duaan di tempat
sunyi juga harus ditekankan sebagai elemen penting dalam pendidikan seks.
Pendedahan tentang pengetahuan Pendidikan Kesihatan Reproduktif bukan
merupakan tanggungjawab guru di sekolah semata-mata. Walaupun sebahagian besar
masa remaja dihabiskan di sekolah, ibu bapa juga memainkan peranan yang amat
penting. Di samping memantau tingkah laku anak-anak, ibu bapa juga disarankan
untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan pendidikan seks. Didikan
dari rumah dan dari ibu bapa anak itu sendiri lebih berkesan. Guru merupakan
pelengkap kepada peranan ibu bapa.
Kesimpulannya, PEERS sesuai untuk diajar di sekolah kerana murid-murid
memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dalam memahami perkara berkaitan kesihatan
reproduktif dan sosial. Ini disokong oleh pandangan sarjana Abdullah Nasir
Ulwan, beliau menyebut bahawa pendidikan anak-anak dalam Islam ini meliputi
tujuh kompenan dan salah satu daripadanya ialah pendidikan seks.
No comments:
Post a Comment