Nama: Nur Fazeera bte Mohd Fadzil
1.0 PENGENALAN
Penyelidik
adalah satu perkataan yang memberi bayangan bahawa seseorang individu mengkaji
sesuatu perkara untuk mencari dan menyelesaikan dalam dirinya. Penyelidik
adalah orang yang bertanggungjawab melakukan penyelidikan berlandaskan kaedah-kaedah
yang benar dan sahih. Menurut Rudduck dan rakan (1985), penyelidikan ialah
melaksanakan siasatan secara sistematik terhadap perkara yang ingin diketahui.
Ini bermakna penyelidikan yang dilakukan adalah berkaitan dengan perkara yang menimbulkan
tanda tanya (masalah) hingga tercetusnya persoalan-persoalan dan akhirnya ingin
diselesaikan untuk mendapatkan persoalan itu.
Ramai
antara ilmuwan, profesor, pensyarah dan profesion yang lain melaksanakan penyelidikan.
Tujuannya hanya satu, untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi seterusnya menambahbaik
kemahiran sedia ada. Namun begitu, adakah profesion keguruan terlepas daripada
melakukan penyelidikan? Jawapannya, tidak. Guru juga tidak terlepas daripada
melakukan tinjauan dan penyelidikan di sekolah. Sebagai guru, proses ini adalah
sangat penting untuk memperbaiki mutu pengajaran terkini. Konsep guru sebagai
penyelidik turut dibincangkan dalam literatur pendidikan guru terutamanya
berkaitan dengan reformasi pendidikan dan peningkatan profesionalisme guru.
Penyelidikan
yang guru laksanakan dinamakan penyelidikan tindakan. Secara umumnya, kajian
tindakan diasaskan oleh Kurt Lewin pada tahun 1940 an (Chow F. M et al., 2011).
Beliau merangka kajian tindakan sebagai satu inkuiri oleh sekumpulan orang yang
mengalami masalah. Inkuiri yang diketengahkan adalah berfokus kepada dinamika
kumpulan. Lewin berpendapat bahawa sumbangan penyelidik dalam inkuiri tidak
boleh diabaikan jika ingin memahami dan menambah baik tindakan sosial.
Terkini,
terdapat perbincangan yang menyeru agar guru-guru mengamalkan budaya
penyelidikan. Amalan ini perlu dijadikan satu budaya memandangkan guru kurang
melaksanakan penyelidikan secara berperingkat. Artikel yang berikut menyeru
agar guru-guru melaksanakan penyelidikan tindakan dengan lebih kerap. Sumber
artikel adalah dari Utusan Online bertarikh 22 Julai 2011 oleh Azizi Majid.
Artikel:
ARKIB : 22/07/2011
Pupuk budaya penyelidikan
Oleh
AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 21 Julai - Bidang penyelidikan
seharusnya diberi penekanan sewajarnya dalam bidang pendidikan di negara ini
kerana ia bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada pendidik malah kepada
masyarakat.
Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pelajaran, Datuk
Dr. Haili Dolhan berkata, seluruh warga pendidik khususnya yang berada di IPG
perlu meningkatkan budaya penyelidikan dalam kerjaya masing-masing kerana ia
mampu meningkatkan integriti dan kredibiliti mereka seterusnya memartabatkan
lagi profesion perguruan.
"Kita tidak mahu warga pendidik hanya menumpu perhatian untuk
mengajar anak murid, sebaliknya mereka perlu menyumbang sesuatu kepada negara
melalui bidang penyelidikan.
"Ini kerana cintakan ilmu, dahagakan pengetahuan dan belajar
sepanjang hayat merupakan sifat yang harus ada pada diri setiap warga
pendidik," katanya ketika berucap sempena Seminar Jiwa Penyelidik di IPG
Kampus Temengggong Ibrahim (IPGKTI) di sini semalam.
Turut hadir Pengarah IPGKTI, Mohd. Said Hasran.
Mengulas mengenai seminar tersebut beliau berkata, pertemuan para
intelek dalam seminar yang pertama kali diadakan itu mampu mencetuskan
perkembangan baru dalam bidang pendidikan seterusnya membantu Kementerian
Pelajaran mencapai wawasan 'Pendidikan Bertaraf Dunia'.
Seminar bertemakan 'Penyelidikan Melestarikan Guru Bestari' adalah
anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan IPGKTI
bersama IPG Zon Selatan.
Seminar selama tiga hari bermula hari ini antara lain melibatkan
pembentangan 25 kertas kerja oleh warga pendidik dan pensyarah dari institut
berkenaan.
Berdasarkan
artikel, Rektor Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk
Dr. Haili bin Dolhan berkata bahawa seluruh warga pendidik perlu memupuk budaya
penyelidikan agar berupaya meningkatkan integriti dan kreadibiliti mereka.
Bukan bermakna pendidik yang telah berjaya mempunyai ijazah tertinggi berhenti
menuntut ilmu, bahkan menyemai sikap belajar sepanjang hayat.
2.0 KEPENTINGAN MENYELIDIK
Setiap
hari, guru perlu melakukan pelbagai keputusan yang berkait rapat dengan pengajaran
dan pembelajaran (P&P) serta pengurusan bilik darjah (Noriati A. Rashid et
al. 2010). Sebenarnya, semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran,
guru telah terlibat secara tidak langsung dengan proses penyelidikan seperti merancang
pengajaran, membantu murid dalam proses pembelajaran, menguruskan bilik darjah,
menilai hasil kerja murid dan memberikan maklum balas pencapaian murid-murid
kepada ibu bapa. Walaupun ia menyerupai proses pengajaran, namun jika
dinyatakan semula dengan cara dan kupasan yang berbeza dan lebih ilmiah serta
mengaplikasikan reka bentuk kajian, melaksanakan pelan tindakan, memerhati,
mengumpul data, menganalisa data dan mengubahsuai strategi pengajaran mengikut
keperluan murid, ia lebih menepati takrifan penyelidikan.
Mengapa
guru perlu menyelidik? Elliot,1991 (dalam Kajian Tindakan: Konsep & Amalan
dalam Pengajaran oleh Chow F. M et al.) menegaskan bahawa guru-guru memperoleh
manfaat dengan melakukan penyelidikan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran
seperti:
> Menyedari
teori peribadi,
> Melahirkan
konsep nilai yang boleh dikongsi bersama,
> Mencuba
strategi baru agar dapat merealisasikan nilai yang dipegang dalam amalan,
> Mendokumentasikan
amalan mereka supaya mudah diakses dan difahami oleh penyelidik
yang lain dan
> Membina
teori pengajaran yang boleh dikongsi melalui usaha penyelidikan.
Pada
pendapat saya, sebagai seorang guru, tugas mendidik bukannya mudah. Untuk menyelesaikan
sesuatu perkara yang berkaitan dengan tugas mendidik perlu menggunakan pelbagai
cara dan teknik yang bersesuaian. Sehubungan dengan itu, penyelidik yang
berkualiti seharusnya tidak berputus asa untuk terus mencuba strategi yang baru
dan sentiasa memperbaharui kemahiran selaras dengan perkembangan murid-murid. Saya
sebagai guru pelatih turut terlibat dengan penyelidikan tindakan sebagai syarat
untuk melayakkan saya menerima ijazah. Syarat ini pada saya sangat bagus kerana
ia sebagai alternatif dan pendedahan awal kepada bidang penyelidikan ini dan
seterusnya menjadikan ia sebagai amalan apabila telah menjadi guru kelak.
Seruan
memupuk budaya penyelidikan bukan bermula sejak kebelakangan ini, malahan telah
bermula sejak tahun 1993 di mana Dr. Wan Zahid (dalam kajian Guru Sebagai
Penyelidik: Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kekerapan Aktiviti Kajian Tindakan
Di Sekolah oleh Lee S. G, 1997) menyarankan supaya guru-guru besar menggalakkan guru-guru di
sekolah masing-masing menjalankan kajian tindakan. Saranan beliau adalah
berikutan daripada usaha Kementerian Pelajaran Malaysia pada masa itu yang
memperkenalkan Projek PIER (Programme for
Innovation, Excellence and Research) yang salah satu tujuan utamanya adalah
memupuk budaya penyelidikan di kalangan pengurus pendidikan dan pendidik
melalui kajian tindakan. Ini membuktikan bahawa penyelidikan tidak dilaksanakan
pada satu tempoh masa saja tetapi adalah berterusan dan koheren.
Seruan
demi seruan dihebahkan. Namun, adakah penyelidik itu sendiri sedar akan
kepentingan melaksanakan penyelidikan? Jawapannya ialah sebagai guru yang
berfikiran reflektif, sudah tentu mereka menganggap bahawa penyelidikan ini
sebenarnya sangat-sangat membantu diri, rakan sejawat dan juga masyarakat dalam
mengetahui sesuatu isu yang dikupas. Dalam melaksanakan penyelidikan, guru akan
melakukan pelbagai carian, melaksanakan pemerhatian, merekod data, menganalisis
dan melaporkan dapatan kajian masing-masing. Tinjauan yang dilakukan adalah
bersesuian dengan amalan di bilik darjah. Kepentingannya ialah guru dapat
mempertingkatkan profesionalisme melalui penyelidikan yang dilaksanakan. Saya
berkata sedemikian adalah kerana guru merupakan individu yang menguasai
kandungan kurikulum subjek yang diajar serta mengetahui cara pelaksanaannya. Ini
bermakna, pengetahuan tentang kurikulum mestilah berdasarkan tugas yang
dilaksanakannya. Pendapat saya, pengamal kurikulum seperti guru sepatutnya
menjalankan kajian berdasarkan tugas-tugas mengajar. Dengan kata lain, guru
mesti memahami dan menghayati matlamat serta hasil pembelajaran yang diharapkan
daripada subjek tersebut. Seterusnya, pendekatan, strategi, kaedah dan teknik
yang sesuai. Namun begitu, tidak semua hasil pembelajaran berjaya dicapai. Oleh
itu, refleksi penting untuk mengesan masalah yang dihadapi, membuat andaian
punca wujudnya masalah tersebut.bagi membuktikan andaian adalah benar, kajian
perlu dilaksanakan secara sistematik untuk memperbaiki masalah tersebut.
Kepakaran sebagai seorang guru berupaya ditingkatkan dalam perkembangan
kurikulum dan refleksi pengajaran seterusnya dapat melahirkan budaya
profesional di sekolah.
Seterusnya,
kepentingan penyelidikan adalah penyepaduan teori dan amali. Teori pengajaran dan
pembelajaran telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh pendidik seperti Teori
Behaviorisme, Humanistik, Kognitif dan Konstruktivis. Di samping itu, terdapat
juga pelbagai jenis pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang boleh
dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui penyelidikan,
guru boleh menyepadukan teori pengajaran dengan amalan. Sebagai contoh, guru
boleh mengaplikasikan teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner dalam bilik
darjah dan melihat sejauh mana ia memberi kesan terhadap pembelajaran murid.
Pada saya, tidak semestinya teori yang digunakan pada kali pertama terus berkesan
kepada murid-murid. Guru perlu mencuba pelbagai kaedah yang paling sesuai
dengan gaya pembelajaran murid.
3.0 FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI
AMALAN PENYELIDIKAN
Dalam
penyelidikan yang dilakukan oleh Lee S. G (1997) beliau mengemukakan
faktor-faktor utama yang memenuhi kekerapan penyelidikan tindakan yang
dilaksanakan oleh guru-guru iaitu persepsi mereka terhadap kepentingan penyelidikan,
kemahiran melaksanakan penyelidikan, kesesuaian iklim sekolah bagi melaksanakan
penyelidikan dan cabaran yang dihadapi semasa melaksanakan penyelidikan. Di
samping itu, terdapat juga faktor-faktor lain seperti faktor masa dan keterbukaan
dalam mengakui kelemahan.
Pada
pendapat saya, faktor-faktor yang dinyatakan sememangnya membelenggu guru-guru
yang menyebabkan mereka tertangguh untuk melaksanakan penyelidikan. Contohnya, tidak
ramai guru yang menyedari akan kepentingan penyelidikan bagi jangka masa panjang.
Ia membantu dari segi merancang strategi dan kaedah yang bersesuaian sebelum
menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Namun, berlainan pula dengan
guru yang sedar dengan kebaikan melaksanakan penyelidikan, sudah tentu mereka
tidak teragak-agak untuk memberikan komitmen sepenuhnya dalam bidang
penyelidikan. Kemudian, faktor kesesuaian iklim sekolah turut mempengaruhi
amalan penyelidikan. Pada pendapat saya, jika tiada dorongan daripada ketua
iaitu guru besar, maka guru-guru kurang bermotivasi untuk melaksanakan
penyelidikan. Begitu juga dengan situasi yang tidak mendesak contohnya guru
tidak menghadapi masaalah pembelajaran yang berat dan sentiasa berjaya
menyelesaikan setiap masalah, maka dia berasa tidak perlu untuk membuat
penyelidikan tindakan. Disebabkan itulah Naib Canselor Universiti Malaya, Prof
Datuk Dr. Hashim Yaacob (Berita Harian,12 Mei 2005) berkata, ketua organisasi
iaitu guru besar atau pengetua digesa membuat kajian tindakan bagi menjadikan
ia budaya dalam meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Beliau berkata lagi, penyelidikan membantu guru-guru membuat sesuatu keputusan
yang lebih bijak, berkesan dan profesional selain berupaya menguji keberkesanan
sesuatu teori pembelajaran dan kaedah P&P yang sesuai dengan persekitaran
selain penerimaan masyarakat dan murid-murid. Tambah beliau lagi, pendidikan berkualiti memerlukan
pengetua atau guru besar yang berkualiti bukan saja dari segi fizikal, malah
kebijaksanaan dalam mewujudkan interaksi antara guru, kakitangan dan
murid-murid.
Seterusnya,
halangan dan kekangan yang dihadapi oleh guru-guru menyukarkan mereka untuk
menyelidik. Mungkin kerana faktor bebanan tugas yang semakin menimbun pada masa
kini menyebabkan mereka mengabaikan kepentingan menyelidik dan melupakan
kebaikannya. Tidak dinafikan, faktor kekangan masa mengakibatkan guru kurang
mengamalkan penyelidikan. Warga pendidik seharusnya tidak mengelak dalam
melaksanakan penyelidikan ini atas faktor-faktor seperti yang disebutkan tadi. Memetik
kata-kata Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar (EPRD)
Kementerian Pelajaran Malaysia, Amir Mohd Salleh (DJ Dolasoh, Berita Harian, 29
September 2009), setiap guru perlu mencontohi guru di negara maju seperti
Amerika Syarikat, Jepun dan Korea yang membuat kajian tindakan terhadap bidang
kerjaya mereka. Ia sebagai alat penilai dan perlu menganggapnya sebagai sebahagian
daripada bidang tugas untuk meningkatkan lagi proses pengajaran dan
pembelajaran yang lebih berkesan. Dengan kenyataan ini, maka terbuktilah bahawa
untuk menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia, guru-guru yang perlu memulakan
langkah untuk melakukan transformasi agar kualiti pembelajaran semakin
berkualiti dan bertaraf dunia.
Maka,
pendapat saya ialah guru-guru yang menginginkan pendidikan bertaraf dunia tidak
seharusnya mengabaikan dan menangguh pelaksanaan penyelidikan ini kerana sudah
tentu penyelidikan yang dibuat bukan saja meningkatkan kualiti pengajaran diri
sendiri, bahkan dapat membantu meningkatkan atau menyelesaikan masalah
pengajaran dan pembelajaran guru-guru lain yang menghadapi masalah yang sama.
4.0 IMPLIKASI PENYELIDIKAN
Sesuatu
tindakan yang diambil sudah pasti ada pro dan kontranya. Tidak terkecuali dalam melaksanakan
penyelidikan ini. Kebaikan kajian tindakan ialah:
· > Membantu
memperbaiki amalan proses pengajaran dan pembelajaran
· >Meningkatkan
pemahaman dan ilmu pengetahuan tentang amalan bilik darjah.
· >Memberi
tumpuan kepada isu/masalah semasa.
· > Membantu
guru lain menyelesaikan masalah yang hampir serupa.
· >Merancang
huraian mata pelajaran dengan lebih berkesan
· >Mempelbagaikan
kaedah pengajaran dan pembelajaran serta memudahkan pencapaian
objektif
pembelajaran.
· > Menyediakan
guru agar menjadi penyelidik yang kritikal, kaya dengan idea baru dan sanggup
menerima perubahan terhadap kurikulum.
· > Membentuk
budaya penyelidikan sebagai asas dalam membuat sebarang perancangan dan
tindakan
Namun begitu, ada
pendapat yang mengkritik kajian tindakan ini. Hodgkinson (dalam kajian Lee S. G
,1997 yang bertajuk Guru Sebagai Penyelidik: Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi
Kekerapan Aktiviti Kajian Tindakan di Sekolah) mengkritik kewibawaan guru untuk
menjalankan penyelidikan. Pada pendapat beliau, guru tidak mempunyai ilmu yang
secukupnya untuk menjalankan penyelidikan yang lengkap. Di samping itu, guru
tidak mempunyai masa yang mencukupi disebabkan bebanan tugas yang berat. Antara
lain, beliau berkata sekolah tidak mempunyai peruntukan untuk membiayai projek
penyelidikan yang guru lakukan.
Saya tidak
bersetuju dengan pandangan Hodgkinson tersebut. Pada pendapat saya, faktor masa
tidak menjadi masalah kepada guru kerana kebanyakan kajian adalah berkaitan
dengan masalah dalam bilik darjah. Maka, kajian juga dilaksanakan dalam bilik
darjah semasa guru-guru mengajar. Justeru, tidak timbul isu kekangan masa untuk
menyelidik. Mungkin laporan yang perlu disediakan memperuntukan masa yang
banyak untuk menyiapkannya. Tetapi, laporan boleh disediakan selain waktu
mengajar misalnya di rumah. Kemudian, pendapat beliau tentang guru tidak
mempunyai ilmu yang cukup. Ini adalah tidak benar sama sekali kerana banyak
seminar kajian tindakan yang dianjurkan untuk membantu guru lebih memahami proses
untuk menyediakan kajian tersebut. Di samping itu, terkini, kajian tindakan
telah diperkenalkan sejak di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan menjadi syarat
untuk melayakkan guru pelatih mendapat ijazah. Maka, pendedahan yang telah
diberi membuka ruang kepada guru-guru novis untuk meneruskan amalan
penyelidikan ini.
Bagi saya,
melaksanakan penyelidikan tindakan tiada kelemahannya. Cuma guru itu sendiri
perlu pandai membahagikan masa antara tugas hakiki dengan tugas-tugas lain.
Jangan hanya fokus kepada bidang menyelidik, tetapi tugas mengajar diabaikan.
5.0 CADANGAN/RUMUSAN
Di
sini, saya ingin mencadangkan supaya budaya penyelidikan diberi pendedahan
sejak dari awal lagi supaya ia menjadi satu budaya di sekolah. Ini bermakna,
penyelidikan tindakan dijadikan sebagai tugasan di Institut Pendidikan Guru
(IPG) supaya guru pelatih menjadi mahir dari semasa ke semasa untuk menjalankan
penyelidikan tindakan. Apabila mengajar kelak, tiada timbul isu guru kurang
mahir dalam menyelidik kerana telah diberi latihan dan bimbingan yang cukup semasa
belajar. Rasionalnya cadangan saya ini ialah untuk melahirkan guru-guru yang
menyelidik agar dapat membantu meningkatkan mutu pendidikan di negara kita.
Seterusnya,
di sekolah, saya mencadangkan agar seorang guru melaksanakan penyelidikan
tindakan sekurang-kurang satu kajian dalam setahun. Tujuannya adalah supaya
mereka lebih peka dengan masalah dalam bilik darjah dan bersama-sama untuk
menyelesaikan perkara ini bersama-sama tanpa hanya menyerahkan tugas kepada
pihak lain. Justeru, pada setiap tahun, kaedah dan strategi pengajaran akan
berubah-ubah mengikut situasi dan tahap murid-murid di samping meningkatkan
minat murid-murid terhadap mata pelajaran. Guru besar perlu mewajibkan setiap
guru untuk membentangkan dapatan mereka kepada rakan sejawat yang lain. Dengan
cara ini juga, sesi perbincangan akan diadakan dan isu tersebut dibincangkan
dengan lebih mendalam serta cadangan dan idea baru dikemukakan supaya guru yang
menyelidik itu mendapat maklum balas positif dan negatif terhadap kajiannya.
Secara
keseluruhannya, guru sememangnya tidak boleh lari daripada proses penyelidikan
yang berupaya menaik taraf kualiti pendidikan negara. Guru bukan hanya
berperanan untuk mengajar saja tetapi perlu memahami serta menghayati tujuan
dan matlamat pendidikan dengan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Selaras
dengan perkembangan dunia globalisasi, sememangnya tugas guru lebih mencabar. Sehubungan
itu, guru perlu meningkatkan kepakaran khususnya dalam mata pelajaran yang
diajar. Peningkatan kepakaran ini salah satunya boleh diperoleh daripada peranan
guru sebagai penyelidik.
Akhir
kata, penglibatan guru dalam bidang penyelidikan tindakan adalah amat-amat
digalakkan agar kualiti pendidikan semakin meningkat dan akan setaraf dengan kualiti
pendidikan di negara maju.