Monday, September 3, 2012

Artikel 1: Guru Ponteng Sebelum Cuti Dikenal Pasti

Nama: Aziza Nurul Suhaidatina Aisya Bt Abdul Aziz

1.0  PENGENALAN
Isu etika guru bukanlah cerita baru yang melanda pendidikan pada masa kini. Dalam Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku kesusilaan. Etika dari sudut Islam bererti akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan merujuk kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut oleh syara’.

Namun oleh kerana terdapat segelintir guru-guru yang menyalahi etika perguruan, guru-guru yang lain terkena tempiasnya ibarat ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Justeru, isu-isu yang melibatkan etika guru menyebabkan profesion guru hari ini dilihat semakin goyah dari masa ke semasa. Isu etika guru sering dilihat melalui media elektronik seperti televisyen ataupun di dada-dada akhbar. Ini jelas, apabila semakin banyak isu-isu salah laku guru yang disiarkan di televisyen dan di akhbar yang melanggar kod etika perguruan. Jika masalah ini tidak dibendung oleh kementerian yang berwajib, maka lama kelamaan profesion perguruan tidak dilihat sebagai satu profesion yang mulia.

Salah satu isu etika guru yang dianggap semakin menular dalam kalangan guru ialah isu guru ponteng. Isu ini telah melanggar peraturan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), ponteng dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kecoh, tipu, lari daripada tugas yakni tanggungjawab dan lain-lain. Ponteng dari segi istilah merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang surat akauan sakit mahupun apa-apa sebab yang munasabah. Ketidakhadiran boleh diertikan sebagai apa-apa sahaja kegagalan seseorang pekerja daripada melaporkan diri atau tidak berada di tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun.




Di dalam Peraturan Am Bab C, iaitu pada peraturan 23, ketidakhadiran tanpa cuti bermaksud seseorang pegawai tidak hadir untuk apa-apa tempoh masa dan di tempat sepatutnya beliau hadir untuk tugas rasmi. Ketidakhadiran bertugas tanpa cuti atau terlebih dahulu mendapat kebenaran dari ketua jabatan atau tanpa sebab yang munasabah boleh dikenakan tindakan tatatertib. Contohnya ialah perlanggaran apabila guru tidak berada di premis tempat kerja iaitu di sekolah tempat bekerja selepas mengetip kad perakam pada waktu pagi dan muncul semula pada waktu petang. Contoh ini boleh dikatakan guru tersebut telah menyalahi etika iaitu ponteng sewaktu bekerja. Perkara ini berlaku apabila guru tidak hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah, ianya juga boleh dianggap sebagai ponteng kerja.

Oleh itu, guru ponteng bermaksud guru yang lari daripada melakukan tugas yang diamanahkan oleh mereka sama ada dalam tugas mengajar atau tugas-tugas sampingan seperti tidak hadir mesyuarat, melaksanakan program dan sebagainya. Selalunya, faktor utama yang menyebabkan masalah guru ponteng berpunca daripada sikap guru itu sendiri.

2.0  PERKEMBANGAN HUJAH-HUJAH
Isu yang dipilih ialah mengenai “Guru Ponteng Sebelum Cuti Dikenal Pasti”. Artikel ini diambil menerusi Utusan Online yang bertarikh 2 Jun 2010. Menurut artikel yang ditulis, Jabatan Pelajaran Sabah telah mengenal pasti terdapat segelintir guru yang mengajar di sekolah di negeri ini ‘ponteng’ sekolah untuk pulang ke kampung masing-masing sebelum cuit sekolah bermula. Isu guru ponteng sekolah ini berlaku di daerah Kota Belud di mana guru-guru yang bertindak ponteng ini khususnya yang berkhidmat di pulau-pulau dan aduan ini dibuat oleh pihak ibu bapa sendiri.

Ponteng sekolah memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan dan pencapaian sesebuah sekolah dan muridnya. Antara alasan yang digunakan oleh guru-guru yang ponteng sekolah ialah seperti guru kurang sihat, anak kurang sihat, pulang ke kampung lebih awal dan sebagainya. Apabila guru-guru yang melakukan ponteng sekolah ini melakukan kesalahan yang sama berulang kali, ia menyebabkan tanda tanya kepada pihak pentadbiran mengenai alasan yang diberikan. Justeru, alasan ini sudah lapuk dan tidak diguna pakai lagi oleh guru-guru. Keadaan ini berlaku kerana faktor jarak sekolah dan keadaan persekitaran di mana bagi guru-guru mengajar di sekolah pedalaman mereka lebih terdedah kepada ponteng kerana mereka mengambil cuti terlebih awal dari masa yang ditetapkan untuk tujuan tertentu sepeti pulang untuk sambutan perayaan dan cuti persekolahan. Hal ini berkaitan dengan artikel yang bertajuk “Amaran Keras Kepada Guru Ponteng: Muhyiddin” yang bertarikh 27 Jun 2010. Artikel ini menyatakan bahawa guru yang ponteng sekolah memberikan alasan yang sama seperti artikel pertama yang diulas diatas. Artikel ini juga menyebut bahawa pihak ibu bapa yang melaporkan guru-guru kerap ponteng mengajar kerana hendak pulang ke kampung masing-masing sebelum hujung minggu dan sebelum cuti sekolah bermula. Hal ini juga berlaku di mana kadang-kadang ada segelintir guru-guru yang mengajar cuma tiga dan empat hari seminggu kerana hendak balik awal.

Hal yang sama juga berlaku pada artikel “Guru Ponteng: Tindakan Tegas Akan Diambil” yang bertarikh 20 Mei 2008. Hal ini jelas menunjukkan bahawa isu ini sudah kerap kali berlaku abad Ke-20. Isu guru ponteng sudah lama berlaku dan ia merupakan masalah yang harus dipandang serius. Artikel ini mengulas bahawa Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan tegas kepada guru yang ponteng sekolah. Kes ini buka sahaja boleh berlaku pada Sekolah Kebangsaan (SK) namun Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) juga boleh menyebabkan guru ponteng sekolah. Ini kerana pada artikel ini, seorang guru di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Perak akan dikenakan tindakan kerana ponteng dan bercuti tanpa alasan yang munasabah. Guru tersebut dikenakan tindakan kerana tidak hadir ke sekolah selama 30 hari sejak awal Januari dan hanya memaklumkan kepada pihak sekolah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ekoran daripada isu tersebut, artikel yang bertajuk “Amaran Kepada Guru Ponteng Sekolah” bertarikh 21 Mei 2010, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana guru yang ponteng mengajar atau menyerahkan tugas mengajar kepada orang lain. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan Negeri Sabah mengambil berat akan isu tersebut jika terdapat guru yang ponteng dan menyerahkan tugas mengajar kepada orang lain.

Memetik artikel yang bertajuk “Kakitangan Awam Banyak Ponteng Kerja” bertarikh 14 Mei 2010 mengulas mengenai gejala ponteng kerja banyak dimonopoli oleh kakitangan awam. Kenyataan ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPA), Datuk Seri Abu Bakar Abdullah. Antara faktor yang  menyebabkan kakitangan awam ponteng kerja ialah masalah peribadi, masalah kewangan dan masalah tiada minat.

Kenyataan ini mempunyai persamaan seperti artikel dari Berita Harian Online bertarikh 25 Mei 2011 “45 000 Kakitangan Awam Tipu Sijil Cuti Sakit”. Pada tahun 2010, sebanyak 45 000 atau tiga peratus daripada 1.5 juta kakitangan awam menggunakan sijil cuit sakit palsu untuk ponteng kerja kerana terbabit dengan kerja sampingan. Faktor kakitangan awam membuat kerja sampingan merupakan faktor kewangan di mana rata-rata mereka yang membuat kerja sampingan kerana mempunyai masalah kewangan. Menurut Presiden CUEPACS, Dato’ Haji Omar Osman, belaiu tidak menghalang pendapatan sampingan namun biarlah kerja sampingan itu tidak mengganggu tugas sehingga menjejaskan produktiviti. Kakitangan awam yang dimaksudkan ialah Pembantu Am Rendah (PAR) namun tidak mustahil guru juga termasuk dalam golongan yang membuat kerja sampingan di mana rata-rata masa kini guru melakukan kerja sambilan seperti berniaga atau mengajar di pusat-pusat tuisyen.

Hal ini dilihat mempunyai persamaan dengan artikel dari Berita Harian “Guru Abai Tanggungjawab Calar Imej Profesion Perguruan” yang bertarikh 4 Januari 2010 di mana guru menjalankan kerja luar sehingga menyebabkan hilang tumpuan terhadap tugas mengajar. Menurut Setiausaha Agung Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Loke Yim Peng, hak guru mencari pendatan tambahan tidak boleh disekat namun biarlah mereka boleh mengimbangi kedua-duanya. Guru tidak salah untuk membuat kerja sampingan namun, ianya tidak boleh menjejaskan kerjaya profesion sehingga menyebabkan ponteng untuk mengajar. Walaupun kes guru mengutamakan kerja luar agak terpencil, namun jika dibiarkan ia boleh menjadi ‘kudis’ yang akan membesar bak kata pepatah “ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua” iaitu jika perkara ini dibiarkan, lama-kelamaan ia akan semakin menular dan yang lain juga terkena tempiasnya.

Faktor seterusnya yang boleh menyebabkan kepada isu guru ponteng ialah faktor kurang minat untuk mengajar di mana faktor ini merupakan sifat dalaman dalam diri guru dan lebih sinonim dikaitkan dengan sifat ikhlas. Apabila sesebuah kerja dianggap sebagai ibadah, maka inti pati terasnya haruslah ikhlas. Jika seseorang guru tidak ikhlas, maka amat sukar baginya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pekerjaan utama di sekolah sehingga menyebabkan gejala ponteng mengajar berlaku dalam kalangan guru-guru. Memetik artikel “Guru Punca Pelajar Ponteng” bertarikh 14 September 2009, segelintir guru tidak berminat menjadi guru menyebabkan mereka tidak ikhlas untuk mengajar dan tidak masuk kelas. Apabila mereka tiada minat, mereka ini hanya mengajar ala kadar dan kadangkala tidak mahu ke kelas untuk mengajar dan boleh menimbulkan gejala lain seperti murid ponteng sekolah.

Situasi guru ponteng juga boleh dipengaruhi oleh tekanan di tempat kerja. Kyriacou & Sutcliffe (1978) mengatakan tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca daripada aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Menurut Trendall (1987), tekanan merupakan satu masalah yang berhubungkait dengan pekerjaan orang lain. Apabila guru menghadapi tekanan, guru tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat. Menurut Syed Kamaruzaman Syed Ali (2005),  terdapat beberapa faktor yang menyebabkan guru menghadapi tekanan di tempat kerja seperti faktor fizikal. Faktor fizikal seperti situasi pekerjaan guru di sekolah, tanggungjawab dan peranan yang diamanahkan kepada mereka dan tuntutan masa. Handy (1986) telah mendapati tiga perkara utama dalam faktor fizikal yang boleh menyebabkan tekanan iaitu situasi kerja guru, persepsi yang berbeza antara peranan yang tersurat dan tersirat dalam pekerjaan mereka dan masalah-masalah  sampingan seperti salah faham dengan pelajar.

3.0  IMPLIKASI
Apabila guru ponteng kelas, murid akan tercicir dalam pelajaran. Ini kerana pelajaran yang sepatutnya dikuasai oleh murid tidak dapat diaplikasikan terutamanya dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan. Hal sedemikian disokong menerusi artikel “Amaran Keras Kepada Guru Ponteng” bertarikh 27 Jun 2010 di mana kesan yang boleh dilihat jika guru ponteng ialah menjejaskan proses pembelajaran murid-murid di sekolah. Secara tidak langsung, ia akan menyebabkan murid-murid mengalami masalah pembelajaran lebih lebih lagi murid yang mempunyai tahap kebolehan yang rendah.

Seterusnya, jika situasi guru ponteng semakin menular akan menyebabkan berlakunya masalah disiplin terutamanya jika guru di dalam kelas. Guru merupakan role model kepada murid-murid di sekolah, maka tidak hairanlah jika ada murid yang mengikut sahsiah guru yang negatif juga seperti murid-murid ponteng sekolah. Murid akan beranggapan bahawa jika guru boleh ponteng mengapa mereka tidak boleh mengikut guru tersebut sedangkan guru adalah cerminan kemenjadian murid di sekolah. Situasi ini sama menerusi artikel daripada Utusan Online “Ponteng Sekolah Sebab Cikgu Tidak Mengajar”. Artikel ini menyentuh mengenai murid-murid bertindak ponteng sekolah ekorang daripada guru tidak mahu mengajar. Jika ada guru yang masuk kelas sekalipun mereka akan menyuruh murid membuat kerja sendiri sehingga menimbulkan rasa bosan dalam diri pelajar sehinnggalah mereka akan bertindak untuk ponteng sekolah juga.

Implikasi gejala guru ponteng bukan sahaja memberi impak besar kepada pelajar, bahkan ia juga memberi kesan kepada guru juga. Walaupun hanya segelintir mereka yang melakukan ponteng, namun yang lain turut merasa tempiasnya. Kesan daripada tindakan segelintir guru inilah akan merosak dan mencemarkan imej profesion perguruan. Guru yang ponteng akan dikenakan tindakan disiplin kerana perbuatan ponteng bercanggah dengan peraturan sekolah seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam artikel “Amaran Keras Kepada Guru Ponteng: Muhyiddin” bertarikh 27 Jun 2010.

Perkara ini juga berkaitan dengan artikel daripada Berita Harian bertarikh 25 Mei 2010 dan Berita Semasa bertarikh 14 Mei 2010 mengenai “Kakitangan Awam Tipu Sijil Cuti Sakit” dan “Kakitangan Awam Banyak Ponteng Kerja”. Menerusi artikel tersebut, mana-mana kakitangan yang melanggar etika akan dikenakan tindakan disiplin seperti tahan dan buang kerja bagi mereka yang benar-benar bersalah kerana ia melibatkan disiplin pekerja-pekerja. Jika disabitkan kesalahan berat seperti mengenakan sijil cuti sakit palsu, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti turun pangkat atau dibuang kerja. Artikel “Guru Ponteng: Tindakan Tegas Diambil” yang bertarikh 20 Mei 2008 menyatakan bahawa guru SJKT yang ponteng iaitu tidak hadir sekolah selama 30 hari akan dipecat jika membuktikan guru tersebut ponteng mengajar dengan sengaja.
Isu etika guru ponteng juga memberi kesan kepada sekolah juga di mana jika terdapat ramai guru yang ponteng di sesebuah sekolah, maka pihak pentadbiran akan ditanya oleh pihak atasan sebab mengapa perkara ini boleh berlaku. Ini akan memberikan kesan yang besar kepada sekolah iaitu sekolah tersebut akan dikenali oleh ramai orang dengan isu guru ponteng. Seterusnya, pihak sekolah yang mempunyai masalah ponteng akan dibebani dengan pelbagai program untuk membaiki dan memulihkan imej sekolah yang tercalar seperti program AKUN yang dilaksanakan pada tahun 2012-2016 menerusi artikel daripada “Guru Ponteng: Isu Serius”

Seterusnya ialah masalah etika guru ponteng memberi kesan negatif kepada ibu bapa murid. mereka sudah semestinya akan merasa kecewa dengan sekiranya anak mereka gagal di dalam pembelajaran dan sudah semestinya mereka akan meletakkan kesalahan kepada pihak sekolah. Ibu bapa akan lebih mempercayai guru-guru luar lagi seperti guru tuisyen daripada guru-guru sekolah. Isu guru ponteng memberi kesan negatif kepada ibu bapa dilihat melalui artikel “Amaran Keras Kepada Guru Ponteng: Muhyiddin” bertarikh 27 Jun 2010 di mana pihak ibu bapa sendiri yang melaporkan kes-kes guru ponteng kepada pihak berwajib untuk mengangani masalah tersebut. Wahananya, ibu bapa akan meletakkan pandangan yang negatif iaitu guru-guru tidak boleh memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka dan menyebabkan pandangan ibu bapa terhadap profesion perguruan alah tidak semulia seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
4.0  CADANGAN
Pelbagai langkah yang boleh diambil oleh pihak pentadbir bagi mengelakkan oleh pihak pentadbir bagi mengelakkan masalah ponteng dalam kalangan guru ini dari terus berlarutan dan menjadi ikutan kepada guru-guru lain dan menjadi ikutan kepada guru-gruu lain. Pihak pentadbir perlu mengadakan perbincangan dengan guru yang bermasalah iaitu guru yang sering ponteng. Hal ini demikan bagi mengetahui sebab dan munasabab mengapa guru tersebut mengambil tindakan sedemikian sehingga mengabaikan tugas utama mereka. pihak pentadbir pelu bersemuka dan mendekatkan diri kepada guru-guru ini bagi mengetahui punca masalah ini berlaku. Nasihat dan motivasi diperlukan agar perkara seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang.

Jika perbincangan telah pun dijalankan dan perkara ini masih tetap berulang, pihak pentadbir akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan surat amaran bagi memberi amaran kepada guru tersebut. Memetik artikel daripada “117 Guru Di Sabah Diberi Surat Tunjuk Sebab Langgar Tatatertib” bertarikh 3 Julai 2010:

“Seramai 267 guru diSabah didapati melanggar tatatertib ketiga bertugas dan daripada jumlah itu, 117 orang telah diberi surat tunjuk sebab (Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Dr Muhiddin Yusin)”

(Borneo Post Online, 24 Desember 2010)

Berdasarkan kepada kenyataan ini, punca guru diberi surat tunjuk sebab adalah kerana mereka telah melakukan kesalahan melanggar etika dan salah satunya adalah ponteng kerja. Ini menunjukkan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah amat memandang serius dan mengambil langkah yang tegas dalam menangani masalah tersebut selaras dengan usaha kerajaan yang mahu memastikan profesion perguruan terus dipandang tinggi oleh masyarakat.

Namun demikian, jika perkara ini masih berlanjutan, pihak pentadbir mempunyai kuasa merujuk guru bermasalah ponteng ini kepada lembaga tatatertib selaras dengan peraturan 25 (1) yang terkandung dalam peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib, 1993) Bahagian III. Tindakan tatatertib yang dikenakan ini bertepatan dengan artikel “Amaran Kepada Guru Ponteng” bertarikh 21 Mei 2010 iaitu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Haji Amri A. Suratman mengatakan bahawa JHEAINS akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan tatatertib seperti yang termaktub dalam Perintah Am Negeri Sabah (PANS) kepada guru-guru yang ponteng mengajar.

Pihak atasan juga boleh melakukan lawatan mengejut ke sekolah-sekolah dari masa ke semasa bagi memastikan guru sentiasa mematuhi tugas dan tanggungjawab masing-masing agar guru sentiasa peka dan tidak boleh ponteng dari melaksanakan amanah yang diberikan. Guru Besar juga boleh membuat pemantuan mengejut kerana Guru Besar merupakan pemimpin bagi sesebuah organisasi. Beliau boleh memantau dari kelas ke kelas untuk mengetahui adakah terdapat guru yang ponteng mahupun tidak ponteng sewaktu mengajar. Ini untuk mengelakkan masalah in berlaku dan mengingatkan guru-guru supaya sentiasa amanah dengan tugas yang diberikan.

Sehubungan dengan itu, ekoran daripada isu guru ponteng yang berleluasa di Sabah, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) telah mewujudkan satu program yang dikenali sebagai Program AKUN yang dilaksanakan pada tahun 2012-2016 menerusi artikel Borneo Post online bertarikh 24 Disember 2012. Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan peraturan kehairan guru di sekolah sekaligus memantapkan lagi keberkesanan penyampaian serta penyebaran maklumat pekeliling dan peraturan di semua peringkat enerusi empat strategi pelaksanaan iaitu e-Cerap, Pemantauan Silang, Pemantauan Bersepadu dan e-Hadir. Menurut Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Dr Muyiddin Yusin berkata program tersebut merupakan program serampang empat mata di mana kaan menerapkan pemantapan kualiti perkhidmatan di peringkat sekolah yang menjadi cermin kejayaan dan pencapaian sebenar pendidikan. E-Cerap dan e-Hadir membolehkan pemantauan kehadiran guru dan anggota kakitangan sokongan serta pelaksanaan proses pencerapan dilakukan secara online. Sementara Pemantauan Bersepadu dan Silang akan mendapat menyelia pelbagai elemen di laur bidang masing-masing untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan termasuk ruang dan peluang kepada Pegawai Pelajar Daerah (PPD) memantau semua sekolah di bawah kawalan masing-masing melalui pendekatan zon dan sekolah. Program AKUN yang dilaksanakan diharap akan memberikan impak yang positif yang ditetapkan sebanyak enam impak iaitu keputusan peperiksaan awam meningkat, kos, tenaga, masa dan wang dapat dioptimumkan, semua sekolah dapat dipantau dalam jangka masa setahun, peningkatan kualiti P&P guru, masalah ketidakhadiran guru dapat dikurangkan dan amalan budaya AKUN dapat diterapkan.

Pihak ibu bapa juga boleh membantu untuk menangani masalah guru ponteng. Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran menerusi artikel “Amaran Keras Kepada Guru Ponteng” bertarikh 27 Jun 2010 meminta jasa baik ibu bapa untuk memaklumkan salah laku guru kepada pengurusan sekolah bagi membendung masalah tersebut. kemungkinan pihak sekolah tidak mengetahui guru tidak masuk mengajar di kelas. Namun ada segelintir anak-anak menceritakan masalah ini kepada ibu bapa, maka mereka boleh melaporkan kepada pihak sekolah masalah tersebut dan guru yang ponteng ini boleh dikenakan tindakan yang sewajarnya.

5.0  RUMUSAN
Berdasarkan kepada huraian yang dikemukakan, jelaslah bahawa isu guru ponteng merupakan masalah yang harus dipandang serius oleh pihak yang bertanggungjawab. Pada pandangan saya, walaupun masalah isu guru ponteng agak terpencil, namun ia boleh menular dengan cepat bak kata pepatah “seperti cendawan tumbuh selepas hujan” jika tidak dibendung dengan tegas oleh pihak bertanggungjawab iaitu pihak sekolah dan pihak Kementerian Pelajaran. Masalah guru ponteng ini boleh diibarat “seperti duri dalam daging” di mana masalah yang kecil inilah yang boleh membahayakan kepada semua pihak tambahan pula profesion perguruan merupakan kerjaya yang mulia dan disanjung tinggi oleh semua pihak.

Masalah guru ponteng yang dibincangkan menerusi isu utama yang dipilih merupakan masalah daripada guru yang mengajar di Sabah di mana mereka ponteng untuk balik awal ke kampung masing-masing semasa cuti persekolah bermula. Kemungkinan besar faktor ini berpunca daripada faktor persekitaran iaitu jarak sekolah yang agak jauh daripada kampung halaman. Isu “Guru Ponteng Sebelum Cuti Dikenal Pasti” daripada Utusan Malaysia Online bertarikh 2 Jun 2010 di pandang serius oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dalam menangani masalah disiplin guru di sekolah dan bagi mereka yang melanggar disiplin akan dikenakan tindakan yang tegas tanpa mengira siapa pun. Jika ketidakhadiran guru ke sekolah memerlukan tindakan disiplin, pihak berwajib akan melakukannya berdasarkan kepada Perintah Am Perkhidmatan yang sedia ada kepada guru yang disabitkan bersalah.

Justeru, pandangan saya mengenai isu guru ponteng semasa bertugas haruslah dikenakan tindakan yang tegas untuk membendung iaitu memberi amaran kepada guru-guru yang lain agar tidak meniru perbuatan yang tidak bermoral tersebut. Saya sama sekali bersetuju dengan tindakan Kementerian Pelajaran iaitu akan mengambil tindakan tegas termasuk memecat seorang guru jika benar-benar bersalah menerusi Utusan Malaysia Online, 20 Mei 2010. Artikel ini menyebut bahawa tindakan tersebut akan diambil sekiranya guru terbabit didapati ponteng atau bercuti tanpa alasan munasabah. Pada pendapat saya, kemungkinan besar guru tersebut ponteng kerana faktor tiada minat untuk mengajar di dalam kelas. Di samping itu juga, guru tersebut mungkin menghadapi tekanan kerja di sekolah iaitu emosi yang tidak stabil kerana menghadapi masalah peribadi.

                      
Ringkasnya, isu ponteng bukan sahaja melanggar etika profesion perguruan, malah kesannya boleh mempengaruhi banyak belah pihak sama ada murid, sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Tindakan tegas dan pantas daripada pihak pentadbir diharap dapat menyelesaikan masalah ini. Oleh yang demikian perlu ada pemantauan daripada pihak pentadbir dan pihak jabatan untuk memastikan masalah ponteng dalam kalangan guru dapat disekat. Ini kerana guru perlu sentiasa berusaha meningkatkan kebolehan diri dan melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi muda agar golongan itu bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga cemerlang dari segi akhlak. Guru menjadi role model kepada murid-murid untuk menjadi manusia yang berguna pada masa hadapan. Jika guru sendiri tidak menunjukkan contoh yang tidak baik, maka murid tersebut akan hilang rasa hormat kepada guru ibarat “seperti ketam mengajar anaknya berjalan”. 

2 comments:

  1. Salam... mohon share semua rujukan lengkap mengenai artikel ni. Diharap dapat kongsi penulisan dan pendapat...please emel kat by_gicoh08@yahoo.com.. terima kasih.. semoga mendapat manfaat bersama.

    ReplyDelete
  2. ptuihhhhh setakat buli cikgu sekolah / org bawahan bolehlah... ngan menteri2, pegawai2 atasan, kroni2 gemuk babi, tiap2 hari goyang kaki mkn duit haram takde plak tindakan mcm2 erkkkk???? dahlah menteri pendidikan ini sendiri takde latar belakang pendidikan mau buat pattern mcm2 ishhh... natang babi bodoh.

    ReplyDelete